Malaysia Dateline

Kurangkan birokrasi yang sukarkan rakyat dapat vaksin

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu meminta kerajaan untuk mengurangkan karenah birokrasi yang menyukarkan rakyat untuk mendapatkan vaksin

Beliau berkata, masalah yang dihadapi sekarang ini adalah kelewatan perolehan vaksin di peringkat persekutuan sehingga melambatkan usaha untuk mencapai imuniti kelompok.

Menurutnya, penyelesaian perlu dicari segera oleh kerana Singapura sudah pun melaksanakan sistem jumpa terus atau ‘walk in’ kepada warga emas di negara itu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Penyelesaian mesti dicari segera. Singapura sekarang sudah di peringkat umur 60 tahun, vaksin hanya walk in. Tak perlu daftar apa-apa, dan mereka sudah sediaman tempat-tempat untuk rakyat menerima suntikan vaksin.

“Oleh itu saya sebagai Ahli Parlimen yang (menyokong untuk) meluluskan bajet untuk Covid-19 ini pada tahun lalu, menggesa kerajaan untuk mencari penyelesaian segera.

“Kita lihat di Amerika Syarikat, mereka sudah melaksanakan program vaksin ke peringkat pelajar sekolah. Di UK pun sama, mereka mula membuka pusat perniagaan dan pelancongan,” katanya kepada media hari ini selepas menghadiri program saringan Covid-19 percuma anjuran kerajaan Selangor di Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas.

Sementara itu, Mohamad menyeru agar orang ramai hadir ke slot temu janji vaksin yang sudah ditempah dan tidak takut dengan berita-berita tidak benar berkaitan vaksin.

“Ada yang daftar tapi tak pergi, jangalah ada sikap begitu. Pandangan berbentuk tidak melalui kajian itu perlu kita tolak. Vaksin ini bukan 100 peratus (bagi kekebalan) tapi dia boleh hindarkan kita dari penyakit.

“Ini ikhtiar kita mengurangkan penyakit yang melanda. Saya seru rakyat jangan takut dengan vaksin ini. Saya dah kena dua dos, sy sihat. Janganlah keluarkan fatwa dari mereka yang tak berwibawa ini, kita harap rakyat ketepikan,” katanya lagi