Malaysia Dateline

Kurikulum Pendidikan Islam sekolah kebangsaan perlu integrasi ilmu, bentuk jatidiri, kata Pas

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) meminta kerajaan untuk merombak kurikulum sekolah dengan menekankan konsep integrasi ilmu diterapkan bagi membentuk jatidiri dan kefahaman pelajar, kata Ketua Penerangan Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, kebanyakan institusi pendidikan seperti di Selangor, Terengganu dan Kelantan telah menyuburkan konsep integrasi ilmu seperti pelaksanaan Sekolah Rendah Agama Integrasi, Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab dan Maahad Tahfiz Sains.

Katanya lagi, sambutan dalam kalangan masyarakat sangat menggalakkan. Hal ini menjadi indikator dikalangan ibu bapa yang mahu anak-anak mendapat ilmu yang seimbang di samping penghayatan terhadap adab dan akhlak.

“Pada hari ini, hanya ada satu sahaja subjek Pendidikan Islam dan ia tidak diajar setiap hari. Pada masa yang sama, setiap pelajar akan dinilai praktikaliti amalan fardhu ain seperti berwuduk dan bersolat.

“Kurikulum yang diamalkan pada hari ini sudah baik cuma perlu diperkemaskan. Oleh sebab itu, Pas mencadangkan konsep integrasi ilmu perlu diterapkan bagi membentuk jatidiri dan kefahaman pelajar,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan untuk merombak kokurikulum Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.

Menurut Nasrudin lagi, sekiranya kerajaan melaksanakan konsep integrasi pendidikan Islam di sekolah kebangsaan ia adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“Subjek Pendidikan Islam dan Moral juga mesti dijadikan syarat wajib lulus* bagi semua peperiksaan utama negara.

“Cabaran yang perlu difokuskan oleh kerajaan adalah menangani peningkatan kes jenayah dalam kalangan pelajar sekolah,” ujarnya.

Katanya lagi,data menunjukkan sebanyak 1,440 kes jenayah direkodkan pada tahun 2017, meningkat daripada 1,302 kes pada tahun 2016. Kes-kes yang direkodkan adalah jenayah bunuh, rogol, dadah, mencuri, ragut dan pecah rumah.

“Isu ini perlu ditangani bersama dan diberikan perhatian serius agar para pelajar dapat dididik dengan baik dan dijauhi daripada anasir-anasir negatif,” ujarnya.