Kurma Israel rupanya dibawa secara pukal dari Eropah, KPDN terus pantau pasaran

Oleh WAN SITI AMINAH

Negara baru-baru ini dikejutkan dengan kewujudan produk kurma didakwa diimport dari Israel yang dijual secara terbuka di pasaran tempatan.

Susulan pendedahan itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) segera bertindak melakukan serbuan di sebuah gudang terletak di Klang, Selangor pada Selasa lalu.

Sebanyak 73 pek buah kurma ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ dipercayai produk dari Israel kemudian dirampas oleh pihak JKDM dengan nilai rampasan berjumlah RM678.

Difahamkan, semakan JKDM mendapati kurma tersebut dibawa masuk secara pukal bersama makanan lain dari Eropah pada 2022 dan diisytiharkan sebagai ‘food stuff’.

Sebuah syarikat tempatan kemudian membungkus semula kurma tersebut di negara ini sebelum dijual di kedai milik mereka dengan harga bermula RM20 sehingga RM30.

Sehubungan itu, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan pasaran terus dipantau berhubung penjualan kurma dari Israel.

Datuk Armizan Mohd Ali selaku Menteri KPDN menjelaskan, pemantauan dijalankan melalui pelbagai akta di bawah KPDN khususnya bagi Akta Perihal Dagangan 2011.

Jelasnya, KPDN akan mengambil tindakan tegas sekiranya mempunyai maklumat berhubung pihak tidak bertangungjawab yang cuba untuk mengelirukan pengguna.

“Di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM 100,000, atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya (individu dan syarikat) boleh didenda sehingga RM250,000.

“Kita telah serta-merta memasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan terma rujukan Ops Pantau yang telah dilancarkan khas untuk Ramadan dan Aidilfitri, untuk melihat secara terperinci penjualan kurma seperti didakwa tersebut.

“Kita berharap ada kerjasama daripada seluruh masyarakat dan aduan awam dalam platform-platform rasmi di KPDN,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Armizan turut menegaskan bahawa kementeriannya​ tidak mempunyai bidang kuasa bagi mempertimbangkan lesen import sebarang produk dari Israel di bawah ​Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Baca juga: Solat sunat Tarawih ambil masa 7 minit walaupun 23 rakaat, rupanya ini cara masjid nak tarik orang muda beribadah