Kursi Tun Dr Ismail di UKM untuk perpaduan, intergrasi kaum, kata PM

Oleh BORHAN AHMAD

Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk membentuk Kursi Tun Dr Ismail Abdul Rahman di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, usaha tersebut bagi menghargai legasi kepimpinan dan cetusan pemikiran Tun Dr Ismail yang bertunjangkan perpaduan dan integrasi kaum,

“Usaha serta pengiktirafan ini adalah bagi memberi ruang kepada generasi muda dan penerus untuk menyemangati sumbangan pahlawan bangsa dan negarawan ulung Tun Dr Ismail Al-Haj khususnya dalam aspek perpaduan dan penyatuan kaum.

“Semoga lebih banyak penyelidikan dapat diwacanakan dalam pelbagai bidang sosioekonomi, pentadbiran dan kenegaraan dengan adanya kursi ini,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Anwar melancarkan Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj – Tonggak Perpaduan Negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka.