Malaysia Dateline

Kutipan cecah RM12 juta: Sebenarnya filem Mat Kilau belum balik modal, untung pun belum lagi

Setakat semalam, filem pecah panggung arahan Syamsul Yusoff berjaya meraih kutipan sebanyak RM12.2 juta hanya pada minggu pertama ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang ditayangkan pada 23 Jun lalu boleh dikira sudah balik modal dan untung kira-kira RM4 juta apabila pembikinan karya berkenaan sebelum ini dilaporkan menelan kos sebanyak RM8 juta.

Bagaimanapun, pelakon dan penerbit, Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi mendedahkan bahawa filem Mat Kilau belum boleh dianggap ‘sudah balik modal’ mahupun sudah mencapai keuntungan kerana ianya tidak seindah yang ramai sangkakan.

Mawi berkata, setiap penerbit perlu tertakluk kepada undang-undang bahawa filem yang ditayangkan perlu menjelaskan cukai hiburan sebanyak 25 peratus.

“Modal RM8 juta, kumpul RM12 juta, yang mereka nampak ada untung RM4 juta. Sebenarnya ini yang ramai tak tahu. Saya sendiri ada pengalaman dalam menerbitkan filem. Dekat sini saya nak terangkan pada semua. kalau kita kumpul RM12 juta, dengan modal RM8 juta sebenarnya kita masih belum balik modal untuk penerbit. Kenapa?

“Pertama sekali, apabila filem kita ditayangkan di pawagam, kita kena bayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus. Kalau dikira dari RM12 juta kutipan, sebanyak RM3 juta perlu dibayar untuk cukai hiburan” katanya dalam satu penjelasan yang dimuat naik di TikTok.

Secara anggaran, filem Mat Kilau baru sahaja mengutip RM9 juta selepas RM3 juta ditolak untuk cukai. Tetapi menurut Mawi ada lagi bayaran yang perlu dipatuhi pihak penerbit yang menyebabkan filem Mat Kilau sebenarnya belum lagi mencapai keuntungan mahupun balik modal.

Selain cukai hiburan, pihak penerbit juga perlu membuat perjanjian dengan pihak panggung wayang di mana hasil kutipan filem untuk minggu pertama akan dibahagi 50-50 antara pihak penerbit dan pihak pawagam.

Ini bermakna dari RM9 juta yang ada, pihak penerbit perlu memberikan sebanyak RM4.5 juta kepada pihak panggung wayang.

“Minggu pertama, perjanjian dia adalah penerbit dan pihak panggung wayang akan buat pembahagian 50-50. Jadi pihak penerbit akan beri separuh pada panggung wayang selepas bayaran cukai ditolak.

“Kalau kita dapat RM12 juta, perlu tolak 25 peratus cukai atau RM3 juta. Kemudian dari baki RM9 juta mereka akan bahagi dua. Jadi maknanya mereka belum balik modal kerana ketika ini mereka baru ada RM4.5 juta.

Pada minggu kedua tayangan, pihak panggung wayang akan ‘up’ lagi peratus. Mereka akan ambil 55 peratus, penerbit 45 peratus. Minggu ketiga naik lagi 60 peratus, penerbit dapat 40 peratus sahaja. Minggu keempat pula mereka akan ambil 65 peratus. Penerbit pula? hanya 35 peratus,” jelasnya.

Juseru itu katanya, orang ramai perlu terus menyokong filem Mat Kilau dan semua filem tempatan yang ditayangkan di panggung wayang kerana para penerbit mengeluarkan kos yang amat besar dan sukar mendapat untung besar.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata terkejut dengan pendedahan Mawi dan mengakui mereka baru tahu tentang bayaran di sebalik tabir yang selama ini mereka tidak tahu.

Ada juga yang berkata, mereka sudah dapat agak perkara berkenaan dan tidak dapat bayangkan bagaimana filem-filem tempatan lain yang sebelum ini tidak mendapat sambutan dan tidak untung.

Sehingga kini, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan kekal unggul di tangga pertama carta filem pecah panggung GSC mengatasi karya-karya luar negara seperti Top Gun Maverick, The Black Phone, Elvis dan Vikram

Baca juga: Ledakan dalam Umno akhirnya terjadi

Baca juga: ‘Wey jom esok makan nasi kandar dekat Penang nak?’ – Dua pemuda buat ‘last trip’ sebagai pelatih juruterbang