Malaysia Dateline

Kutipan Mat Kilau kini melebihi RM50 juta dalam tempoh 13 hari tayangan

Hampir dua minggu pecah panggung, penerbit Studio Kembara Sdn Bhd yang menerbitkan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, memaklumkan bahawa filem epik yang mencetuskan fenomena itu telah berjaya mengutip sebanyak RM51.8 juta setakat semalam.

Hasil kutipan tersebut berjaya diperoleh dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam, kata penerbitnya Abdul Rahman Mt Dali.

“Sehingga semalam, jumlah kutipan filem Mat Kilau sudah mencecah RM51.8 juta.

“Saya nak ambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton yang memberi sokongan menonton filem yang mengetengahkan pahlawan terbilang, Allahyarham Mat Kilau Iman Rasu ini.

“Paling mengujakan, pelbagai lapisan masyarakat datang menonton. Ini termasuklah makcik dan pakcik, ada antaranya bertongkat serta berkerusi roda.

“Ia sekali gus menyuntik semangat untuk menghasilkan filem bergenre epik dan ikonik pada masa hadapan.

“Saya amat menghargai sokongan, termasuk rakan media,” katanya memetik BH Online.

Dilaporkan, Syamsul Yusof menjangkakan filemnya itu bakal mengutip RM60 juta biarpun ada yang menjangkakan hasil kutipan boleh ditambah sehingga mencecah RM80 juta hingga RM100 juta.

Diterbitkan Studio Kembara, kos pembikinan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berdasarkan fakta sejarah membabit bajet RM8 juta.

Naskhah yang sarat dengan elemen cintakan agama, bangsa dan tanah air itu dibintangi pelakon, Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Wan Hanafi Su, Johan As’ari, Yayan Ruhian dan ramai lagi.

Baca juga: Netizen pertikai sekolah jemput ‘ikon pemotoran tak diiktiraf’ beri motivasi pada pelajar

Baca juga: Tangkap suami curang di rumah mentua, mentua tak halang malah sibuk tonton TV