Malaysia Dateline

Kutipan Tabung Hari Pahlawan kali ini tertinggi sejak merdeka, kata Menteri Pertahanan

Buat pertama kali sejak merdeka, tabung kutipan Hari Pahlawan tahun ini mencipta rekod tertinggi dengan kutipan mencecah hampir RM10 juta sebelum dimasukkan sumbangan kerajaan.

Menteri Pertahanan Muhamad Sabu berkata beliau mengambil inisiatif untuk melebarkan sasaran penyumbang yang menyeluruh bagi mengingati jasa pahlawan negara.

“Kalau dulu senarai penyumbang kepada tabung ini hanyalah terdiri daripada syarikat-syarikat yang berurusan dengan angkatan tentera sahaja.

“Kali ini saya secara peribadi membuka ruang kepada semua syarikat walaupun mereka bukan berurusan dengan angkatan tentera,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Pingat Jasa Malaysia di Kota Bharu pada Ahad.

Beliau melahirkan rasa kesal kerana banyak pihak yang tiada urusan dengan pihak tentera sering lupa dengan sumbangan wira-wira negara.

“Semua kita yang menikmati keselamatan dan keamanan perlu sedar segalanya hasil pengorbanan perajurit yang siap sedia siang malam mengawal perbatasan negara.

“Sebab itu tahun ini saya menemui pelbagai syarikat yang tidak berurusan dengan pihak tentera memaklumkan supaya turut memberi sumbangan,” katanya.

Selain itu beliau turut terkejut dengan pihak-pihak tertentu yang memandang remeh terhadap kehadiran dan sumbangan tentera.

“Sampai ada yang kata tentera kita hanya makan tidur sahaja kerana sekarang tiada ancaman keselamatan negara.

“Ada pula yang berani cadangkan supaya tentera tinggalkan senjata untuk kerja di ladang manakala tentera wanita jadi amah.

“Saya cukup tersinggung dengan komen seperti ini dan berjanji untuk menaikkan semula imej tentera yang begitu berjasa kepada negara,” katanya.

Menyentuh pembelaan terhadap bekas-bekas tentera, beliau bersyukur kerana kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan memberi perhatian serius kepada masalah berkenaan.

“Dalam pembentangan bajet pada 11 Oktober lalu, telah diumumkan bayaran one-off RM500 untuk kumpulan berkenaan.

“Saya menyeru kepada yang belum mendaftar untuk berbuat demikian secara atas talian (online) untuk mendapat bayaran one-off tersebut,” katanya.

Pada majlis itu seramai 512 veteran tentera termasuk 18 orang balu dan 32 orang veteran kurang upaya (VKU) menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang disampaikan menteri pertahanan.

Seramai hampir 70,000 pemegang PJM menerima one-off RM500 yang melibatkan peruntukan berjumlah RM35 juta.