Malaysia Dateline

KWSP 2.0: Orang ramai hujani desakan ketika PM mahu buat Perutusan Khas

Laman Facebook rasmi Perdana Menteri berkaitan Perutusan Khas beliau jam 3 petang ini dilihat telah dihujani desakan berkaitan tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

“Luluskan KWSP bersasar 2.0”. Demikian imej tertera pada bendera putih yang berlatarbelakangkan warna hitam.

Imej tersebut dilihat berderet di dalam ruangan komentar bagi hantaran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan Perutusan Khas yang bersiaran langsung di saluran televisyen utama negara dan media sosial.

Sebelum ini, wujud tuntutan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang khas daripada KWSP mengikut kategori dan keperluan bagi mengurangkan beban kehidupan sekarang.

Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR) berkata, pengeluaran khas KWSP 2.0 ini amat diperlukan golongan B40, M40, mereka yang diberhentikan kerja dan ibu tunggal di seluruh negara.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, membabitkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Tiga program pengeluaran khas KWSP itu adalah pengeluaran pra-persaraan yang diperkenal sebagai langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walau bagaimanapun, akibat siri pengeluaran itu, matlamat KWSP untuk membantu pencarum semasa usia persaraan dilihat tidak akan tercapai.

Awal tahun ini, KWSP menjangkakan 6.1 juta atau 50 peratus ahli yang berusia kurang daripada 55 tahun akan mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 apabila bersara nanti.

Sementara itu, penganalisis ekonomi berpendapat jika ahli sudah mengeluarkan wang sebanyak RM21,000 melalui tiga pengeluaran khas sebelum ini, mereka terpaksa bekerja antara empat tahun hingga enam tahun lebih lama daripada umur persaraan untuk menampung kembali wang yang dikeluarkan sebelum ini.

Baca juga Kecoh isu ‘Datuk palsu’, individu dakwa gelaran Datuk dari istana sebenarnya tak perlukan kad

Baca juga Alahai sedihnya, dua beradik ini maut digigit anjing