KWSP buka simpanan syariah kepada ahli hari ini

KWSP buka simpanan syariah kepada ahli hari ini

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Simpanan Shariah, yang akan dilancarkan pada Januari 2017, kini dibuka untuk pendaftaran di seluruh cawangannya kepada semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan kerakyatan.

Ahli yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada Simpanan Shariah perlu hadir ke mana-mana cawangan KWSP dan membawa MyKad untuk pengesahan cap jari mereka, menurut KWSP dalam kenyataan.

Manakala bagi ahli bukan warganegara Malaysia, mereka perlu membawa pasport.

“Hari ini merupakan hari yang bersejarah untuk KWSP dengan pembukaan pendaftaran untuk Simpanan Shariah.

“Kami amat sukacita kerana berjaya memenuhi permintaan yang tinggi daripada ahli semasa Rundingan Awam pada tahun lepas untuk diwujudkan pilihan simpanan persaraan yang diuruskan berlandaskan prinsip Shariah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam kenyataan itu.

Beliau berkata keputusan untuk menukar kepada Simpanan Shariah adalah tertakluk kepada ahli sendiri dan menasihati ahli untuk memahami konsep Simpanan Shariah terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menukar daripada simpanan KWSP konvensional.

Dana sebanyak RM100 bilion, iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM681.71 bilion sehingga akhir Mac 2016, diperuntukkan untuk Simpanan Shariah 2017 berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’.

Bagi kelayakan untuk Simpanan Shariah 2017, ahli perlu mengemukakan permohonan mereka sebelum 23 Disember 2016 dan tertakluk kepada ketersediaan dana RM100 bilion.

Bagi majikan, proses mencarum dan penguatkuasaan semasa kekal sama.

Tiada perubahan atau borang lain yang perlu diisi oleh majikan untuk pekerja yang memilih Simpanan Shariah.

Maklumat lanjut mengenai Simpanan Shariah, Soalan Lazim (FAQ) dan proses pendaftaran, orang ramai boleh melayari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di talian, 03-89226000.

TAGS