Malaysia Dateline

KWSP jangka 2020 tempoh mencabar berikutan COVID-19

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangkakan 2020 akan menjadi satu tempoh yang lebih mencabar berbanding situasi 2019, dengan kesan penularan COVID-19 mungkin mempengaruhi kelembapan pertumbuhan global, kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Alizakri Alias.

Beliau berkata perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang masih lagi tidak menunjukkan tanda akan berakhir menjadi antara risiko ke atas pemulihan ekonomi yang lain.

“Kami berharap pasaran domestik akan berdaya tahan, terutama susulan pakej rangsangan yang bakal kerajaan diumumkan akan membantu menyokong sentimen pelabur dan pengguna,” katanya dalam kenyataan pengumuman dividen KWSP bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah 2019 yang dikeluarkan hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Feb untuk mengurangkan impak ekonomi luaran yang teruk berikutan COVID-19.

Malaysia setakat ini mencatatkan 22 kes positif COVID-19, yang kali pertama dikesan di Wuhan, China.

Daripada jumlah itu, lima orang masih dirawat di hospital manakala 17 orang lagi telah discaj setelah pulih sepenuhnya.

Ketika ini, terdapat 77,661 kes dicatatkan di seluruh dunia dengan 2,360 kematian dan 20,976 orang lagi telah pulih. Daripada jumlah itu 76,290 orang yang terlibat adalah di China.

Bagaimanapun, Alizakri memberi jaminan kepada 14.6 juta ahlinya yang meliputi lima generasi warga kerja Malaysia, bahawa KWSP maklum dengan tekanan yang sedang meningkat pada dekad baharu.

“Bagi 2020 dan tahun-tahun akan datang, kami akan terus memberikan tumpuan untuk menyampaikan bukan sahaja dividen kewangan malah memberikan dividen sosial kepada ahli kami.

“Kami ingin ahli memperkasakan diri mereka dengan ilmu yang membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan mengecapi masa depan yang lebih baik,” katanya.

KWSP telah mengumumkan dividen bagi 2019 sebanyak 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.0 peratus untuk Simpanan Shariah, yang masing-masing melibatkan jumlah agihan RM41.68 bilion dan RM4.14 bilion.

Nilai aset pelaburan keseluruhan KWSP adalah sebanyak RM924.75 bilion setakat 31 Dis 2019.

Daripada jumlah itu 37 peratus dilaburkan dalam portfolio syariah dan 63 peratus ke dalam portfolio konvensional.

Pulangan keseluruhan daripada portfolio konvensional dan sebahagian daripada portfolio syariah adalah dikaitkan dengan Simpanan Konvensional.

Bagi 2019, KWSP melaporkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM50.29 bilion, yang mana dua per tiga adalah daripada aliran dividen dan faedah yang stabil.

Daripada jumlah itu, RM45.82 bilion diatributasikan kepada Simpanan Konvensional.

— BERNAMA