Malaysia Dateline

KWSP Lahad Datu, Tawau ditutup mulai hari ini

Mulai hari ini, pejabat dan kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Lahad Datu dan Tawau, Sabah ditutup sementara sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP menerusi kenyataan semalam berkata, penutupan itu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat kawasan di Pantai Timur Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.

Sehubungan itu, katanya, semua permohonan Janji Temu Online (JTO) membabitkan cawangan KWSP Lahad Datu dan Tawau dibatalkan serta merta dan mereka terbabit perlu membuat semula janji temu itu selepas PKPDB ditamatkan.

“Ahli dan majikan bagaimanapun masih boleh menggunakan perkhidmatan secara dalam talian KWSP, iaitu i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun Majikan), yang beroperasi seperti biasa,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat 1,195 kes positif jangkitan Covid-19 di empat daerah tersebut dalam tempoh 1 hingga 27 September lalu.

Menurut kenyataan KWSP itu lagi, pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau ejen bank berdaftar di kaunter.

Oleh demikian, ahli dan majikan disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja.

“Untuk penjelasan lebih lanjut, sila hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan di talian 03-8922 6000.

“Dalam tempoh mencabar ini, KWSP komited untuk terus memberi perkhidmatan kepada ahli di cawangan atau menerusi saluran digital. Kesihatan dan keselamatan ahli serta anggota KWSP tetap menjadi keutamaan dan segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.

Empat kawasan di zon timur Sabah itu dikuatkuasakan PKPDB secara pentadbiran bermula jam 12.01 tengah malam tadi selama dua minggu, iaitu sehingga 12 Oktober ini.