Malaysia Dateline

KWSP: Memilih laluan yang lebih bertanggungjawab

Semalam saya terjumpa dengan satu statistik berkenaan tabungan ahli-ahli KWSP. Ianya memberikan gambaran berkenaan tahap kesediaan ahli-ahli KWSP bagi menghadapi kehidupan selepas persaraan.

Sebelum kita lupa, KWSP adalah tabungan secara paksa yang menyediakan dana bagi pekerja apabila mereka sudah tidak ada pendapatan tetap selepas persaraan.

Di samping potongan gaji pekerja, majikan juga dipaksa mencarum ke akaun pekerja mereka. Dana yang dikumpul akan dilaburkan oleh KWSP bagi mendapatkan pulangan yang akan membesarkan lagi tabungan yang ada. Di samping jaminan pulangan yang ditetapkan sebanyak 2.5%, KWSP juga mensasarkan pulangan yang melepasi tahap inflasi tahunan supaya ada perkembangan dana pada tahap yang sebenar (real growth).

Ahli-ahli KWSP kena ingat, jika tidak disebabkan untuk membantu mereka untuk menghadapi hari persaraan, majikan tidak akan dipaksa mencarum. Jadi “duit kami” tu turut merangkumi sumbangan majikan bagi tujuan persaraan. Ingat ya.

Di dalam masa yang sama, berbeza dengan tabungan pesaraan lain di seluruh dunia, dana yang diuruskan oleh KWSP boleh digunakan untuk pelbagai perkara lain seperti membeli rumah, pendidikan dan juga kesihatan.

Jadi, ini menyebabkan jumlah yang ada semakin jauh kedudukannya berbanding dengan sasaran jumlah minima yang perlu ada semasa mencapai umur pesaraan iaitu RM 240,000.

Pandemik Covid-19 menyebabkan kerajaan membenarkan ahli KWSP mengeluarkan lagi dana tabungan mereka melalui pelbagi skim yang bersinar. Ini menyebabkan kira-kira RM 100 bilion dikeluarkan dari KWSP.

Ini memang satu tindakan popular terutamanya apabila dicanang oleh orang-orang politik yang mana juaranya sudah berumur lanjut dan berharta dan tidak memerlukan dana KWSP untuk kelangsungan hidup mereka. Seperti biasa, betul salah tu diletakkan ke belakang. Yang pentingnya popular dan mendapat sokongan apabila diundi nanti.

Mari kita fokuskan kepada kumpulan umur 50-54 tahun kerana ialah umur yang paling hampir dengan umur 55 tahun yang mana kesemua baki tabungan boleh dikeluarkan. Penengah (median) simpanan mereka adalah dalam RM 40 ribu sahaja, lebih rendah dari RM 48 ribu bagi kumpukan yang lebih mudah seterusnya. Ini mungkin disebabkan ahli KWSP dibenarkan mengeluarkan sepertiga tabungan mereka apabila berumur 50 tahun.

Apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah jurang di antara jumlah tabungan penengah dengan sasaran KWSP adalah amat besar (RM 240 ribu – RM 40 ribu), kira-kira RM 200 ribu. Inilah yang menyebabkan KWSP runsing apabila ada desakan supaya dibenarkan lagi pengeluaran disebabkan banjir pula.

Bagi saya, langkah kerajaan memberikan pertolongan lansung kepada mangsa banjir sehingga dalam RM 60 ribu adalah langkah bijak berbanding dengan mendengar seruan-seruan di media sosial (termasuk seruan dari robot-robot dan juga pendekar siber yang dibayar) supaya KWSP dibocorkan lagi.

Asas pandangan saya adalah:

1. Statistik di atas belum mengambilkira pengeluaran di dalam tahun 2021. Statistik di atas mungkin tindak menggambarkan kedudukan sebenar yang lebih merunsingkan.

2. Tidak semua ahli KWSP yang terlibat dan bilangan mereka mungkin tidak seramai yang memerlukan keputusan polisi yang akan memberikan kesan jangka panjang ke atas ahli-ahli KWSP.

3. Apabila sudah mencapai umur pesaraan, pesara-pesara akan menghadapi masalah untuk mendapat pembiayaan dari institusi kewangan kerana potensi pendapatan mereka sudah merosot berbanding dengan orang yang lebih muda.
4. Eloklah diusahakan agar tabungan mereka tidak dikurangkan di ketika mereka masih muda dan mempunyai lebih daya untuk mendapatkan dana.

5. Di ketika ahli-ahli KWSP sudah bersara dan menghadapi masalah kewangan 5, 10 tahun akan datang, ahli-ahli politik yang menghasut mereka ini mungkin sudah pun tidak laku atau pun meninggal dunia. Mereka tidak akan bersedia untuk menolong apabila kesan dari polisi yang disarankan oleh mereka benar-benar dirasai. Inilah bahayanya berfikir secara jangka pendek dan populis.

Memandaikan masyarakat berkenaan isu-isu polisi adalah di antara kaedah bagi menjadikan mereka warganegara yang baik dan boleh menjadi pembina negara yang lebih utuk. Penggunaan data dan fakta membolehkan polisi dibentuk dengan lebih menepati keperluan yang ada.

Memang, kebanyakan pilihan banyak risiko dan kelemahannya. Di dalam banyak situasi, kita kena memilih pilihan yang paling kurang mudaratnya. Emosi dan populariti bukanlah kaedah pembentukan polisi yang bertanggungjawab.


Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji. Tulisan ini disiarkan dalam facebook beliau.