Malaysia Dateline

KWSP perjelas pembelian tanah dilakukan secara profesional

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan bahawa pembelian tanah di Sungai Buloh oleh anak syarikat milik penuhnya, Kwasa Land Sdn. Bhd  pada 2012, dilaksanakan secara profesional.

Dalam kenyataan, KWSP berkata pembelian 944.13 hektar  (2,330 ekar) tanah daripada Aset Tanah Nasional Berhad (ATNB), jentera tujuan khas (SPV) milik 100 peratus kementerian Kewangan, dilaksanakan secara saksama bagi membangunkan Kwasa Damansara.

Kwasa Damansara ialah sebuah bandar yang merangkumi pusat perumahan dan komersial serta infrastruktur dan kemudahan awam.

KWSP berkata ia mengikut struktur pelaburan yang ketat yang memerlukannya menjalankan usaha wajar sebelum membuat transaksi.

“Harga pembelian RM2.28 bilion itu adalah berdasarkan nilai pasaran yang adil berikutan lokasinya yang baik antara Kota Damansara dan Sungai Buloh. KWSP tidak mengetahui mengenai sebarang aturan selepas pembelian itu antara Lembaga Getah Malaysia dan ATNB seperti yang dibangkitkan oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok,” katanya.

Semalam, Kok berkata pada Oktober 2010, ATNB mengambil alih tanah itu daripada Lembaga Getah Malaysia (MRB) pada kos RM1.5 bilion, yang rendah berbanding nilai pasaran.

Tanah itu kemudiannya dijual kepada KWSP oleh MRB melibatkan RM2.28 bilion pada 2012.

— BERNAMA