KWSP RM10,000: Pemuda Umno akui gagal yakinkan kerajaan walaupun berkali-kali melobi

Oleh NASUHA RAHMAN

Pemuda Umno mengakui gagal untuk menyakinkan kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP i-Citra RM10,000 walaupun usaha melobi telah dilakukan kepada Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

Ketuanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelbagai memorandum dengan segala justifikasi berpandukan rintihan rakyat yang benar-benar susah telah dikemukakan berkali-kali.

“Ya, saya akui kegagalan untuk meyakinkan Kerajaan betapa rakyat amat mengharapkan i-Citra KWSP RM10 ribu secara one-off bagi memulakan kehidupan baharu pasca pandemik akibat terlalu banyak komitmen tertunggak.

“Juga siri-siri pertemuan dengan pengurusan tertinggi KWSP. Moga Menteri Kewangan dapat memberikan penjelasan tuntas dalam ucapan pergulungannya kelak sebab-sebab kenapa tidak dapat penuhi #TuntutanRakyat ini,” katanya dalam status di facebook mengulas pembentangan Bajet 2022 oleh Tengku Zafrul di Dewan Rakyat semalam.

Katanyanya secara jujur Pemuda Umno tidak dapat menyimpan perasaan kecewa, apabila ada beberapa tuntutan rakyat diperjuangkan tidak dipenuhi.

“Antara yang menjadi harapan besar majoriti rakyat iaitu Pengeluaran Simpanan KWSP i-Citra RM10,000 secara one-off yang tidak dimasukkan oleh Kerajaan dalam pembentangan kelmarin.

“Apakan daya, walaupun perkara ini telah berkali-kali diperjuangkan secara konsisten bahkan diutarakan di dalam pelbagai medium, platform termasuk mengadakan siri-siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi negara hatta pengurusan tertinggi KWSP.

“Saya dan teman-teman di Pemuda UMNO tidak boleh “lepas tangan”. Dokumen- Dokumen Belanjawan 2022 termasuklah Laporan Ekonomi dan Teks Ucapan YB Menteri Kewangan akan diteliti dengan mendalam oleh kami secara bersama,” kata beliau.