Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka menerusi inisiatif pengenalan akaun baharu.
Inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP ini menyaksikan akaun pencarum berusia di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Mula berkuat kuasa pada 11 Mei depan, Akaun Persaraan diguna untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan manakala Akaun Sejahtera pula bertujuan menangani keperluan yang menyumbang kepada kesejahteraan pesara.
Akaun baharu iaitu Akaun Fleksibel pula akan menyediakan fleksibiliti khusus untuk keperluan kewangan jangka pendek di mana simpanan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.
Difahamkan, baki caruman Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal di dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel pula akan bermula dengan baki sifar, lapor Berita Harian.
Semua caruman selepas tarikh penguatkuasaan akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan ditetapkan iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus dimasukkan ke Akaun Sejahtera dan baki 10 peratus dalam Akaun Fleksibel.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn memaklumkan bahawa fokus utama inisiatif ini adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Inisiatif ini juga membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan mereka selepas bersara kelak,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Berdasarkan mekanisme penstrukturan semula itu, ahli diberikan pilihan sekali sahaja pada 11 Mei hingga 31 Ogos 2024, untuk memindahkan sebahagian simpanan Akaun Sejahtera (sebelum ini Akaun 2) sebagai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel.
Sekiranya ahli tidak membuat sebarang pilihan berhubung amaun permulaan, maka tiadalah sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.
Manakala Akaun Fleksibel pula hanya akan bermula dengan caruman baharu yang bakal dikreditkan ke dalam akaun ahli pencarum KWSP selepas tarikh pelaksanaan.
Jika ahli membuat pilihan untuk memiliki amaun permulaan, pemindahan amaun ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera pada tarikh permohonan.
Kaedah pemindahan buat Akaun Sejahtera yang memiliki baki RM3,000 ke atas adalah 10 daripada 30 (10/30) baki yang berada di dalam akaun akan dipindahkan ke dalam Akaun Fleksibel.
Manakala lima daripada 30 (5/30) baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan bilamana 15 daripada 30 (15/30) pula akan dikekalkan di dalam Akaun terbabit (Sejahtera).
Pencarum yang memiliki baki Akaun Sejahtera kurang daripada RM3,000, pindahan akan dibuat seperti berikut iaitu semua amaun Akaun Sejahtera (berbaki RM1,000 dan ke bawah) dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
Bagi Akaun Sejahtera berbaki RM1,000 ke atas atau tidak melebihi RM3,000 pula, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya kekal dalam Akaun Sejahtera.
Ahli boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel sebanyak satu kali saja bermula daripada tarikh kuat kuasa sehingga 31 Ogos 2024, di mana selepas ini pilihan tidak boleh dibatalkan.
Pencarum yang berminat memanfaatkan penstrukturan semula ini boleh kemukakan permohonan melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau ‘Self-Service Terminal’ yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.
Baca juga: 10 tahun pihak berkuasa suruh sabar, penduduk memancing di jalan berlubang sebagai tanda protes