Gara-gara mengeluarkan kenyataan seolah-olah mempersenda keluarga yang mengangkat bendera putih, jutawan kosmetik Datuk Seri Vida (DSV) kini dikecam para netizen.
Dalam akaun TikTok @datoksrividaoffical beliau meminta orang ramai yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar berusaha untuk keluar daripada kemelut yang dihadapi.
“Janganlah guna alasan PKP, pendapatan terjejas, nak beli pampers anak tak boleh. Usaha,” katanya yang turut memuji peniaga di gerai yang beliau singgah.
Kenyataan DSV itu mengundang kemarahan netizen antaranya pengguna akaun TikTok @selichaw yang meminta DSV tidak perlu mengecam atau tuduh individu atau keluarga angkat bendera putih kerana malas.
“Mereka yang kibar bendera putih tidak minta gelang emas Datuk untuk beli pempers dan susu anak. Saya yang pernah alami waktu susah akan buat apa saja hatta buang maruah sekalipun demi anak.
“Jadi Datuk jangan kecam orang yang angkat bendera putih kerana malas.
“Zaman pandemik ini, ramai yang sanggup bunuh diri kita tidak boleh jangka bila COVID-19 ini akan berakhir.
“4 tahun lagi COVID tidak hilang, tapi datuk tak apalah sebab banyak harta,” katanya dalam loghat Kelantan.
Beliau merayu kepada DSV, jika tidak dapat menolong orang yang angkat bendera putih lebih baik duduk diam bukannya memalukan mereka.
“Orang nak minta bantuan, kalau Datuk tak boleh tolong, duduk diam-diam,” bidasnya lagi.
Rakyat tertekan perlu simpati
Dalam pada itu jutawan kosmetik Rozita Ibrahim yang lebih mesra dipanggil Bonda Rozita turut menegur kenyataan DSV itu melalui posting facebooknya hari ini.
Katanya, perkataan malas yang disebut DSV itu tidak sesuai dalam keadaan rakyat tengah tertekan sebaliknya perlu simpati kerana manusia hari ini terlalu sensitif perasaanya.
“Berhati-hatilah untuk jaga perasaan hati semua orang, rakyat tolong rakyat. Kami tak nak ada yang kelaparan dan bunuh diri,” tegas beliau.
Katanya, mereka yang mempunyai simpanan banyak atau sedikit boleh habis dan tidak mampu bertahan kerana Covid belum menunjukkan akan berakhir.
“Lihat saja berapa banyak company besar bankrupt, berapa banyak hilang kerja dan bercerai sebab Covid, dalam isu sekarang kita jangan salahkan sesiapa pun.
“Kita semua dah cukup tertekan, kita semua usaha nak membantu kurangkan tekanan,” katanya.
Jelasnya, tidak ada sesiapa pun yang suka menaikkan bendera putih sebab rakyat bukannya yang jenis suka meminta-minta.
“Saya tengok pun sedih dan saya tak gembira dengan keadaan negara kita sekarang,” kata beliau.
Habis ikhtiar
Seorang lagi pengguna Facebook Fadzlan Shahibi yang menyifatkan DSV tidak faham bagaimana keadaan orang yang mengangkat bendera putih.
Katanya, individu angkat bendera putih hanya apabila segala ikhtiar telah dilakukan dan berakhirnya sebuah usaha yang membebankan
“Dah tak ada jalan keluar lagi dah.
“Jadi apabila mengatakan mereka yang mengangkat bendera putih itu sebagai pemalas memang sesuatu yang tidak dapat diterima oleh ramai orang.
Rasanya DS Vida ni mabuk Air Budu ni, kan lebih baik dia diam daripada berkata-kata.
“Kalau nak tolong buat senyap senyap. Tak nak tolong jangan buat alasan terang terang,” ujarnya.