Labuan tersasar daripada objektif asal pembentukannya – LCCC

Labuan tersasar daripada objektif asal pembentukannya – LCCC

Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC) hari ini menyifatkan Wilayah Persekutuan Labuan telah tersasar daripada objektif asal pembentukannya dan status pulau bebas cukai kini bukan sesuatu yang dibanggakan sebaliknya sekadar slogan di atas kertas.

Bercakap kepada pemberita pada majlis makan tengah hari di Fishermen’s Wharf di sini, hari ini, Pengerusinya, Datuk Wong Kii Yii mendakwa status bebas cukai itu juga tidak membawa manfaat kepada rakyat, masyarakat perniagaan atau pun pelbagai sektor lain.

Menurutnya, Labuan tidak harus dikenakan pelbagai syarat seperti keperluan memiliki pensijilan Institut Penyelidikan Standard dan Industri (SIRIM) bagi pelbagai produk import yang dibawa ke pulau tersebut.

Malah, pulau itu tidak meraih manfaat daripada status itu berikutan keperluan masyarakat peniaga, terutama pengimport yang diwajibkan memiliki permit import (AP).

“Mengapakah Labuan yang juga memiliki status bebas cukai dikenakan pelbagai sekatan bagi menjalankan aktiviti perniagaan?” katanya.

Wong berkata, pengguna dan pengunjung tempatan telah lama dikenakan syarat ketat membabitkan pembelian barangan bebas cukai, termasuk dalam jumlah terhad selain perlu menunjukkan bukti pengenalan diri sebelum membuat sebarang transaksi tersebut.

Beliau turut mendakwa syarat supaya golongan peniaga memiliki AP juga telah menjejaskan urus niaga dan menggesa kerajaan meneliti semula sama ada status bebas cukai itu terbukti membawa faedah kepada penduduk serta sektor perniagaan.

“Pengunjung lazimnya mengelak Labuan berikutan kenaikan harga barangan yang ketara dan syarat baharu pihak Kastam. Peraturan sedemikian juga hanya menakutkan pelabur dan menyebabkan premis perniagaan di sini berisiko untuk ditutup,” katanya.

Atas alasan itu, katanya,  Labuan perlu diberi lebih banyak autonomi dari segi membuat keputusan.

“Banyak isu berkaitan yang gagal diselesaikan di sini kerana perlu dirujuk kepada Kuala Lumpur yang pada akhirnya terbiar,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden LCCC, Arthur Kong, pula mencadangkan supaya status bebas cukai Labuan ditukar kepada pelabuhan perdagangan bebas yang dilihat lebih bermanfaat kepada masyarakat perniagaan.

— BERNAMA

 

JH JH WGM INA