Malaysia Dateline

Lagak ‘super hero’ untuk tambah pendapatan di musim Covid-19

Ekoran hilang pekerjaan sejak Ogos tahun ini kerana pandemik Covid-19, ia tidak menghalang bekas pekerja telekomunikasi, Muhammad Syukur Mohd Patthi bersama dua lagi rakannya, Mohamad Zaidi Zainal Abidin dan Yusri Md Saad untuk terus berusaha bagi mencari sumber pendapatan.

Yang menariknya mereka memperagakan pelbagai kostum Super Hero bagi menarik perhatian orang ramai bagi mendapatkan jus jagung atau ‘ayaq jagung’ berdekatan Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Malah keunikan yang berjaya menarik perhatian orang ramai apabila mereka memperagakan kostum yang popular dikalangan kanak-kanak seperti Iron Man, Power Rangers, Predator, Bumblebee dan pelbagai karakter semasa menjual produk jus jagung tersebut.

Dengan berpakaian pelbagai Super Hero mereka menjual ayaq jagung untuk menambahkan pendapatan.

Menurut Muhammad Syukur, walaupun usaha ini baru saja beroperasi, namun ia telah berjaya menarik perhatian orang ramai yang lalu-lalang sekitar kawasan tersebu.

Tegas beliau, sebelum ini grup tersebut dikenali sebagai Geng Superhero Penang atau GSP sering menyertai pelbagai acara seperti sambutan ulang tahun kanak-kanak, majlis perasmian dan seumpamanya.

Walau bagaimana pun semua majlis tersebut telah dihentikan ekoran penularan wabak Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

“Setiap botol jus ini dijual antara RM8 hingga RM20 berdasarkan kepada jumlah kuantiti iaitu sebotol hingga tiga botol.

“Setiap hari antara 100 hingga 150 botol dapat dijual dengan bergerak ke pelbagai lokasi sekitar Bandar Perda.

“Selepas PKP tamat, kami becadang untuk mengembangkan produk ini ke daerah-daerah lain dalam Pulau Pinang dengan menambahkan lagi perisa dan poduk tersebut,” tambah beliau.