Lagenda bola sepak terpaksa lelong pingat, kelab Pantai Timur tak bayar gaji 4 bulan

Oleh WAN SITI AMINAH

Lagenda bola sepak negara, Jamsari Sabian kembali mencuri tumpuan ramai setelah meluahkan hasrat untuk menjual koleksi pingat miliknya.

Lebih mengejutkan, pingat tersebut terpaksa dijual untuk menampung kehidupannya berikutan sudah empat bulan tidak menerima gaji daripada kelab Kelantan United.

Difahamkan, pingat tersebut diraih ketika bekas penjaga gol Selangor itu berkhidmat untuk kelab Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ FC) di zaman kegemilangannya.

Pingat yang ditawarkan Jamsari ini dimenanginya selepas meraih gelaran juara Piala Malaysia, Sumbangsih, Piala FAM dan Liga Perdana sepanjang 2001 sehingga 2004.

Mengundang perbincangan hangat, perkara tersebut dikongsi jurulatih penjaga gol Kelantan United itu menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

“Nak lepaskan pingat (ketika bersama pasukan) MPPJ FC dari tahun 2001 sehingga 2004. Nak ‘cover’ gaji yang tak dibayar empat bulan. Sebab itu kena jual,” katanya.

Terdahulu, Jamsari Sabian membuat keputusan untuk menyertai kelab yang bergelut dalam Liga Super itu sebagai jurulatih penjaga gol pada pertengahan tahun lalu.

Walau bagaimanapun, skuad Kijang Hijau itu sering kali terpalit dengan isu kebajikan kerana terlibat dengan masalah pembayaran gaji termasuklah kepada pemainnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Jamsari memaklumkan kelab bola sepak Pantai Timur itu sudah melunaskan gaji bagi bulan Ogos dan September, lapor Sinar Harian.

Pembayaran mula dibuat kelmarin dan baki gaji untuk bulan Oktober, November dan Disember dijangka diselesaikan pada 31 Januari ini berdasarkan memo pembayaran.

Pingat tersebut bagaimanapun tetap akan dijual oleh Jamsari dengan nilai RM30,000 dan sesiapa yang berminat diminta untuk menghubunginya bagi keterangan lanjut.

Baca juga: Lelaki maut terkena serpihan bunga api, tiba-tiba meletup atas bumbung hotel PD