Malaysia Dateline

Lagi 10 tahun, penduduk di pesisir pantai diancam bahaya jika langkah ini tidak segera dibuat

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, penduduk di pesisir pantai diancam bahaya jika langkah mitigasi terutama usaha menaik taraf ban pantai tidak dilaksanakan segera.

Peringatan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) itu susulan impak melampau perubahan iklim seperti dapat dilihat pada kejadian banjir pantai yang semakin ekstrem.

Ancaman kesan melampau perubahan iklim turut dapat dilihat pada paras air di jeti dan pelabuhan semakin tinggi selain kejadian hakisan tebing pesisir pantai dan kerosakan struktur pantai seperti ban pantai runtuh.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali, dilapor berkata, negara perlu membuat semakan semula reka bentuk binaan struktur kawalan banjir supaya ia lebih berdaya tahan.

Jelasnya, penduduk yang tinggal di pesisir pantai dibimbangi akan menghadapi risiko besar dalam tempoh 10 tahun lagi jika ban pantai tidak dinaik taraf dengan segera.

“Ban pantai kita adalah pertahanan pertama untuk menghadapi kesan kenaikan paras laut, kita tidak boleh tunggu sehingga tahun 2050 (untuk menaik taraf infrastruktur). Kita perlu mula membina struktur yang mampu mengawal banjir.

“Kita khuatir ban pantai yang ada sekarang tidak boleh tampung (ombak), kita perlu reka bentuk ban pantai yang mempunyai ketahanan lebih kukuh bagi menghadapi fenomena alam lebih ekstrem termasuk hujan dan ribut,” dipetik BH.

Kepelbagaian ekosistem di kawasan pesisiran pantai perlu dipelihara demi generasi akan datang.

Beliau menegaskan bahawa dalam tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang, berdasarkan faktor kenaikan aras laut dan angin, ban pantai sedia ada yang tiga meter dari paras laut sudah tidak boleh mengekang ombak ketika ribut.

Oleh itu, pembinaan ban perlu lebih tinggi daripada tiga meter kerana pada masa ini saiz ombak setinggi 2.5 meter sudah boleh mengancam ketahanan ban dan menjejaskan penduduk pesisir pantai.

Untuk rekod, kajian menerusi dokumen Rancangan Fizikal Zon Pesisiran Pantai Negara ke-2 (RPP-2) mendedahkan bahawa lebih 20,000 hektar kawasan berdekatan pantai di seluruh negara dijangka berdepan risiko kenaikan aras laut menjelang 2030.

Risiko tersebut dijangka meningkat kepada 23,120 hektar pada 2050 dan 33,562 hektar pada 2100.

Kajian sama juga menyatakan ancaman geobencana seperti hakisan sudah berlaku di lebih 425 kilometer (km) pantai di seluruh negara dan lebih 123,000 hektar kawasan tepu bina berisiko dilanda gelombang tsunami.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, kebanyakan ban di pesisir pantai Malaysia telah berusia dan ada antaranya yang dibina pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Disebabkan itu, kejadian limpahan air laut di kawasan kuala dan muara akan berlaku ketika air pasang besar yang disertai dengan angin kencang jika tidak ban pantai tidak dinaiktaraf.

Akibatnya, banjir pantai akan berlaku sekiranya ban tidak kukuh serta roboh dibadai ombak.

Banyak kerajaan negeri dilihat selamba memusnahkan hutan paya bakau demi mengutamakan pembangunan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pentingnya hutan paya bakau dikekalkan sebagai pelindung semula jadi.

“Hutan paya bakau berupaya menjadi penahan ombak semula jadi sekali gus mengurangkan tenaga ombak yang boleh menyebabkan hakisan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya kerajaan mengiktiraf dan mengklasifikasikan ban pantai sebagai struktur yang kritikal.

Hal itu, katanya, penting seperti di Belanda yang amat menitikberatkan pemantauan dan penyelenggaraan ban pantai agar tidak diganggu.

Baca juga 3 juta penduduk di seluruh negara bakal terjejas tapi negeri ini paling banyak kawasannya ditelan laut

Baca juga Ada apa dengan angka ’11’ kepada kanak-kanak ini?