Malaysia Dateline

Lagi 1,290 kes Covid-19, 4 kluster baharu hari ini

Sebanyak 1,290 kes baharu Covid-19 dengan 1,067 jangkitan berlaku di Sabah dan Selangor, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kes itu mencecah angka 51,680, manakala terdapat 13,222 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Menerusi kenyataan media hari ini, beliau berkata, Sabah mencatatkan kes yang tertinggi dengan 660 kes diikuti Selangor dengan 407 kes.

Jelasnya, rekod kes yang tinggi di Sabah berpunca daripada kluster-kluster berkaitan pusat tahanan sementara (PTS), lokap dan penjara (250 kes).

Sementara itu, katanya, peningkatan kes di Selangor berpunca daripada Kluster Teratai (245 kes) dan kluster baharu pada hari ini, iaitu Kluster Kapas BJ (55 kes).

“Kedua-dua kluster itu berkaitan tempat kerja yang membabitkan bukan warganegara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 269 kes atau 20.9 peratus yang dilaporkan hari berkaitan kluster-kluster di PTS, lokap dan penjara.

Selain Kluster Kapas BJ di Hulu Langat, tiga lagi kluster baharu dikesan hari ini manakala enam kluster lagi diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Empat kluster baharu itu dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Johor.

Dalam masa sama, empat lagi kes kematian berkaitan Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian pandemik itu sebanyak 326 kes iaitu 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Seramai 110 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.