Malaysia Dateline

Lagi 2,018 kes Covid-19, 8 kluster baharu dikesan hari ini

Angka jangkitan Covid-19 bertambah lagi sebanyak 2,018 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif wabak itu mencecah 95,327 kes.

Rekod hari ini merupakan angka ketiga tertinggi pernah dilaporkan sejak penularan pandemik tersebut di Malaysia.

Kes harian Covid-19 paling tinggi pernah dicatatkan sebelum ini adalah pada 10 Disember lalu, iaitu sebanyak 2,234 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor kekal mencatatkan jumlah kes harian tertinggi hari ini, iaitu 1,204 kes atau 59.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Daripada jumlah pertambahan kes di Selangor itu, sebanyak 1,115 kes dikesan daripada kluster sedia ada dan jaringan kontak rapat yang giat dijalankan di lapangan.

“Selain Selangor, Johor turut mencatatkan kes tertinggi hari ini, iaitu dengan 278 kes atau 13.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dan diikuti Sabah, iaitu 247 kes atau 12.2 peratus,” katanya dalam sidang media Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham Abdullah

Menurutnya, terdapat 243 kes (12.0 peratus) dilaporkan berkaitan kluster dalam penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Tembok Gajah (234 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (6 kes), dan Kluster Tembok (3 kes).

Sementara itu, lapan kluster baharu dikesan hari ini iaitu enam di sekitar daerah di Selangor dan Kuala Lumpur dan masing-masing satu kluster di Pulau Pinang dan Labuan.

Dr Noor Hisham memaklumkan kluster pertama dikesan di daerah Gombak yang dinamakan sebagai Kluster Pekapuri hasil saringan bersasar di tempat kerja serta sudah menjangkiti 202 individu.

Jelasnya, kluster kedua turut dikesan di Selangor iaitu daerah Klang yang dikenali sebagai Kluster Batu Besar hasil saringan bersasar di tempat kerja dengan seramai 59 individu telah dijangkiti.

Kluster seterusnya dikenali sebagai Kluster Tower membabitkan daerah Gombak, Hulu Langat, Titiwangsa, Cheras, Kuala Lumpur dan Temerloh di Pahang.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster tersebut dikesan hasil saringan bersasar di tempat kerja dan sudah menjangkiti 20 individu.

“Kluster keempat dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Pelangi iaitu di daerah Kepong hasil saringan bersasar di sebuah tapak pembinaan dan sudah menjangkiti 23 individu,” katanya.

Bagi kluster kelima, beliau berkata, ia dikesan di daerah Petaling dan dikenali sebagai Kluster Wawasan hasil saringan individu bergejala dan sudah menjangkiti enam individu.

Seramai sembilan individu pula dijangkiti dalam Kluster Delima yang melibatkan daerah Titiwangsa, Gombak dan Hulu Langat.

“Bagi kluster ketujuh, ia dikesan di Labuan yang dinamakan sebagai Kluster J Bandar hasil saringan bersasar di tempat kerja serta sudah menjangkiti 25 individu,” katanya.

Beliau berkata, kluster terakhir yang dikesan hari ini ialah Kluster May Indah membabitkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.

“Dua kes indeks dalam kluser ini dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan bersasar di tempat kerja dan sehingga kini sudah menjangkiti 27 individu,” tambahnya lagi.