Lagi 30 kakitangan DBKL bantu siasatan polis kes rasuah kondo

Lagi 30 kakitangan DBKL bantu siasatan polis kes rasuah kondo

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil 30 lagi kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ekoran penahanan seorang pengarah jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Lapor The New Straits Times, mereka dipercayai bersekongkol dengan seorang Datuk Seri yang sedang disiasat SPRM dengan menyalahgunakan kedudukan mereka dalam DBKL.

Memetik kenyataan Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki, laporan itu mendakwa suspek – terdiri daripada pelbagai peringkat jawatan – memaksa pemaju perumahan memberikan unit kondominium percuma kepada mereka sebagai balasan meluluskan sesuatu projek.

Kediaman yang diperoleh tanpa bayaran itu kemudian dijual pada harga lebih tinggi.

“Siasatan kami mendapati tidak kurang daripada 30 pegawai DBKL memperoleh unit kondominium melalui rasuah tanpa membuat sebarang bayaran pendahuluan.

“Modus operandi mereka agak canggih. Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian jual beli tanpa membuat sebarang transaksi kewangan dan kediaman itu kemudian dijual pada harga pasaran sebaik saja projek itu disiapkan,” katanya dipetik NST hari ini.

Akhbar itu melaporkan amalan rasuah berkenaan mungkin antara yang terbesar pernah melibatkan sebuah PBT di negara ini.