Malaysia Dateline

Lagi 300 rumah PPRT dibina tahun ini, kata Rina Harun

Kira-kira 300 lagi rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dapat dibina tahun ini di seluruh negara dengan menggunakan teknologi Sistem Binaan Industri (IBS), kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun.

Beliau berkata tambahan itu menjadikan lebih 1,800 rumah PPRT akan dibina tahun ini berbanding perancangan asal hanya 1,500 rumah.

“Walaupun peruntukan yang diterima lebih sedikit berbanding tahun 2018 tetapi kementerian sentiasa proaktif dan inovatif dengan menyediakan rumah menggunakan teknologi IBS yang dalam masa sama tidak menjejaskan kualiti dan saiz rumah,” katanya.

Di samping itu, kerajaan meneruskan program membaik pulih 10,000 rumah PPRT tahun ini, katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, di Pusat Komuniti Desa di Bandar al-Muktafi Billah Shah di sini, hari ini.

Sementara itu, kementerian berharap Bank Negara Malaysia memberikan sedikit kelonggaran kepada golongan belia di luar bandar untuk mendapatkan pinjaman perumahan.