Malaysia Dateline

Lagi 3,551 kes Covid-19 hari ini, semua negeri catat kes baharu

Kes harian Covid-19 terus menyaksikan angka membimbangkan apabila lagi 3,551 kes dilaporkan hari ini walaupun sedikit turun berbanding 3,744 kes semalam

Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 427,927 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham.

Jelasnya, Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 1,137 kes diikuti Kuala Lumpur (477) dan Sarawak (391).

“Semua negeri mencatatkan pertambahan kes hari ini dan Labuan mencatatkan kes harian terendah dengan dua kes baharu,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kelmarin, Dr Noor Hisham memaklumkan hampir semua negeri dan kawasan Wilayah Persekutuan merekodkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) antara 1.08 hingga 1.35 melebihi purata kebangsaan 1.07.

Nilai Rt tertinggi dicatatkan Terengganu dengan 1.35, disusuli Kedah (1.28), Melaka (1.24), Perak (1.19), Negeri Sembilan (1.17), Johor (1.16), Pahang (1.16) dan Selangor (1.12).

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini mengunjurkan kes harian berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang awal bulan depan jika Rt kebangsaan meningkat kepada 1.2.