Lagi bahana GST, pelopor fesyen muslimah dedah punca bisnes tutup

Lagi bahana GST, pelopor fesyen muslimah dedah punca bisnes tutup

Terkesan dengan penutupan lima pasar raya besar Giant di seluruh negara, ikon usahawan wanita negara, Mona Din, 51, mengakui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) menjadi punca beliau sendiri terpaksa menutup operasi butik fesyen muslimah koleksi Hajaba yang diasaskannya.

Beliau berkata, GST yang dikuatkuasakan mulai 1 April 2015 itu menyebabkan golongan usahawan sepertinya berdepan tekanan pertambahan berganda pelbagai jenis kos termasuk sewa premis sehingga terdapat rakan seperniagaannya turut tidak mampu menampung gaji pekerja.

Menurut penerima Anugerah Wanita Waja 2008 itu, pada masa sama ekonomi negara sedang meruncing selain kebanjiran penjual dan penjahit warga asing serta kemunculan anak muda dalam perniagaan atas talian.

“Sesak dada bila fikir tentang ekonomi kita yang makin tenat. Secara peribadi, saya merasakan perkara ini (penutupan operasi Giant) berlaku apabila bermulanya pelaksanaan sistem GST.

“Sebaik ada GST, saya antara pemain industri yang pertama dapat meramal perkara ini akan berlaku dan mengambil tindakan segera untuk mengelak kerugian.

“Bila mula kena bayar GST, cukup untuk sewa bulanan, pertambahan kos itu saja sudah boleh buat kita hampir nak pitam.

“Bayangkan kalau GST satu cawangan saja dah hampir RM4,000 dah boleh sewa satu lagi kedai shop lot biasa di luar ‘mall’, bukan? Kalau dah 10 cawangan kena GST?” ujarnya¬† dipetik daripada luahan beliau di akaun Facebook atas nama Mona Din.

Mona Din yang mempelopori fesyen muslimah akui GST memberi banyak tekanan kepada peniaga tempatan.-Foto FB Mona Din

Jenama Hajaba yang dibangunkan Mona pernah mengungguli carta fesyen tanahair sehingga mampu membuka cawangan butiknya di pusat beli-belah terkenal antaranya di Suria KLCC; Pavillion, Bukit Bintang; Alamanda, Putrajaya; Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan Bangsar Village.

Bercerita lanjut tentang keputusan menutup kesemua cawangan butik beliau secara berperingkat sejak dua tahun lalu, Mona berkata, situasi bertambah kritikal apabila terpaksa menyerap GST selepas dikenakan pelbagai kenaikan kos tanpa berupaya untuk menaikkan harga jualan pakaiannya.

“Bagi yang berniaga di pusat beli-belah besar, kena bayar GST untuk segalanya termasuk sewa dan macam-macam benda lagi tapi tak boleh masukkan GST masa jual baju. Pelanggan tak mahu bayar sebab semua kedai lain pun tak caj GST, kena serap sendiri!

“Dan bila dah serap, patut nak kena jual barang dengan harga lebih tinggi sikit daripada sebelumnya, barulah ‘ok’, tapi mana boleh, sebab harga busana muslimah dan tudung mencanak turun,” ujarnya yang mempunyai lebih 44,000 pengikut di Facebook.

Sebahagian luahan rasa hati Mona Din di dalam facebooknya yang mengeluh mengenai pelaksanaan GST menjejaskan empayar perniagaan dijalankannya.

Sangat tenat

Pemilik jenama besar produk kesihatan Leesa Formula dan pusat kecantikan Serenity Spa itu juga berkata, harga pakaian muslimah itu semakin rendah akibat wujudnya aktiviti lelongan oleh peniaga asing.

Mereka terbabit, jelas Pengarah Urusan Pameran Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF) 2014 dan 2015 itu, membawa masuk rakan senegara dalam jumlah yang ramai bagi menjahit sendiri pakaian lalu menjualnya dengan harga rendah dengan bekalan borong dari Jakarta dan Bangkok.

“Habis satu Masjid India dan promo gerai di semua pasar raya dikuasai mereka (peniaga asing), menjadikan persaingan terlebih sengit, dan harga (jualan) turun merudum!

“Kita yang menjahit sendiri di kilang-kilang di Malaysia langsung tidak boleh lawan harga, ditambah GST pula.

“Akhirnya, setelah mencongak-congak keadaan semasa dan meneropong masa depan, saya tahu ekonomi runcit Malaysia terutama fesyen muslimah akan menjadi sangat tenat, hanya soal masa.

“Jadi, saya dan suami ambil kputusan drastik. Kami mahu untuk keluar segera sebelum empayar saya akan makan wang tunai dan simpanan kami,” luahnya anak kelahiran Kampung Carok Mokkan, Jitra, Kedah itu.

Suaminya, Zulkefli Muhamad Ali, 55, sebelum ini adalah rakan kongsi kesemua perniagaan Mona yang menguruskan bahagian pentadbiran, kewangan, dan berurusan dengan pembekal dan pengilang manakala Mona menjadi Pegawai Perhubungan Awam.

Akhirnya, pada Oktober tahun lalu, Mona memberitahu mereka membuat keputusan untuk memberhentikan operasi di kesemua cawangan butiknya akibat bebanan GST, kejatuhan nilai ringgit, kemerosotan jualan dari bulan ke bulan serta pengurangan pengunjung di gedung beli-belah.

“Dan saya terus memerhati dari hari ke hari betapa keadaan menjadi semakin sukar kepada ramai peniaga. Saya hanya mampu mendengar rintihan mereka, kawan-kawan baik saya, yang masih dalam industri, dengan penuh rasa mengerti, dan sangat bersimpati.

“Ramai dari mereka yang setiap bulan mengalami kerugian. Jumlah kutipan jualan tidak pun cukup nak bayar sewa dan gaji pekerja, sedang stok baru tetap perlu ada.

“Kalau tidak, langsung pelanggan takkan menjenguk ke butik lalu semua itu perlu menelan belanja, duit dari simpanan sendiri, sedihnya…,” tambah ibu kepada lima anak itu lagi.

Status Facebook Mona pada 31 Oktober yang berkaitan tekanan dialami golongan peniaga tempatan ekoran pelaksanaan GST itu menerima lebih 4,300 respon pembaca serta kira-kira 900 komentar selain dikongsi 2,000 pengguna media sosial itu hanya selepas 24 jam dimuat naik.

8.3
OVERALL SCORE
: 6.0
7 user votes x 8.6
CATEGORIES
TAGS