Malaysia Dateline

Lagi gesaan hadapkan Zahidi ke Jawatankuasa Parlimen

Ahli Dewan Negara, Alan Ling Sie Kiong hari ini mahukan agar Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM) dihadapkan ke Jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen selepas didapati memberi jawapan palsu dalam sidang Dewan Negara berkenaan pelajar Veveonah Mosibin.

Senator itu menegaskan, meskipun Zahidi telah membuat kenyataan permohonan maaf atas kenyataan palsu tersebut, namun perkara itu telah mendatangkan kesan buruk dan negatif kepada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dan keluarganya.

Katanya, Zahidi perlu disiasat dan diambil tindakan tegas atas sikap tidak bertanggungjawab selain telah mengelirukan dan mencemarkan integriti Dewan Negara.

“Jawatankuasa Hak dan Kebebasan perlu memutuskan sama ada Datuk Zahidi berkata benar berkenaan dakwaan tersilap sehingga mendapat maklumat tidak tepat ketika memberi jawapan kepada Dewan Negara.

“Tindakan serius ini adalah untuk menjaga integriti Dewan Negara yang mulia ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Satu surat yang diusulkan kepada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim juga dimaklumkan sudah diterima oleh pejabat Yang Dipertua Dewan Negara hari ini.

Terkini, Zahidi memberitahu bahawa sumber yang memaklumkan kepadanya tentang Veveonah Mosibin, adalah Timbalan Menteri Kewangan I.

Beliau berkata, Datuk Abdul Rahim Bakri merupakan ahli Parlimen Kudat Sabah yang telah menerima maklumat berkenaan dari pensyarahnya.

Dilaporkan, sehingga hari ini Veveonah masih gagal dihubungi dan hantaran terakhirnya di laman sosial Facebook hanya pada tiga hari lalu.

Menerusi hantarannya itu, dia melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri yang menuduh dirinya menipu sedangkan dirinya telah bersungguh-sungguh bekerja keras bagi menghadapi peperiksaan atas talian.

Dia berkata, kesan buruk dan kritikan orang ramai menyakitkan dirinya biarpun kenyataan Zahidi telah diperbetulkan.