Malaysia Dateline

unit rawatan rapi (ICU) zon selatan di tingkat dua bangunan induk HSA terbakar dan mengorbankan enam pesakit, selain tiga kakitangan HSA cedera akibat terhidu asap tebal.

Lagi gesaan segera bentang laporan siasatan kebakaran HSA 2016

Kerajaan digesa untuk segera menjelaskan apakah yang sedang berlaku terhadap beberapa ahli jawatankuasa siasatan bebas yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas didakwa dipanggil pihak berkuasa untuk membantu penyiasatan.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ketika ini timbul beberapa persoalan terutama berkenaan laporan hasil siasatan jawatankuasa tersebut mengenai kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) empat tahun lalu.

Beliau mempersoalkan mengapa ketua pengarang sebuah portal kesihatan disiasat termasuk Datuk Seri Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang memimpin jawatankuasa berkenaan.

“Mengapakah Boo Su-Lyn, ketua pengarang berita portal kesihatan CodeBlue yang menulis artikel berkaitan laporan tersebut telah disiasat oleh pihak polis di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan?

“Mengapakah Mohd Hishamudin Yunus, bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan pengerusi jawatankuasa tersebut juga turut dipanggil polis bagi siasatan di bawah akta yang sama?

“Sementara insiden sedemikian rupa tidak boleh dibiarkan berulang lagi dan segala pembaikan wajar disegerakan, saya percaya isu yang dinyatakan di atas juga wajar dijelaskan,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Pada 29 Jun, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir membuat gesaan sama yang meminta agar kerajaan membahas dan membentangkan hasil laporan siasatan kebakaran pada 2016 di Parlimen.

Untuk rekod, ekoran tragedi kebakaran di Hospital Johor Bahru itu, satu jawatankuasa siasatan bebas telah ditubuhkan dan berjaya melengkapkan laporan setebal 225 muka surat yang kemudiannya diserahkan kepada KKM pada Jun 2018.

Akmal berkata, sekiranya artikel yang diterbitkan oleh CodeBlue tidak tepat, sewajarnya hasil laporan jawatankuasa tersebut dilaporkan kepada umum agar maklumat sebenar boleh diperoleh.

Sementara itu, Syed Ibrahim yang juga Pengerusi PKR Johor menggesa pihak kerajaan untuk menjelaskan insiden yang berlaku supaya tidak timbul kecurigaan atau prasangka buruk terhadap jawatankuasa siasatan dan pihak yang terlibat.

Menurutnya, sebarang kecuaian akibat penyelewengan dalam soal penyelenggaraan, tidak wajar dilindungi tetapi sebaliknya diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

“Parlimen ialah ruang yang sesuai untuk dibentang dan dibahaskan.

“Soal keselamatan dan kesejahteraan perkhidmatan kesihatan negara amat penting sekarang terutama dalam keadaan pandemik wabak Covid-19 dan kebiasaan baharu.

“Sudah tentu ia wajib menjadi keprihatinan kerajaan dan disokong oleh wakil rakyat sekiranya terdapat keperluan untuk dana dan peruntukan tambahan bagi penyelenggaraan dan naik taraf hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan kerajaan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Boo Su Lyn disoal siasat berkaitan penerbitan laporan yang memetik mengenai inkuiri bebas berhubung kes kebakaran HSA yang meragut enam nyawa pada 2016, yang belum lagi diumumkan kepada awam.

CodeBlue mempertahankan bahawa empat laporan yang disiar pada Mac itu dibuat atas kepentingan umum dan mendakwa siasatan polis dibuat ke atas ketua pengarang mereka adalah untuk mengalih perhatian ke atas keputusan siasatan jawatankuasa.