Lagi kes kecuaian, remaja Tuaran maut lepas hospital gagal kenal pasti denggi berdarah

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lagi remaja lelaki didakwa menjadi mangsa kecuaian selepas meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan sewajarnya di Hospital Tuaran, Sabah.

Bayangkan, remaja berusia 18 tahun yang mengalami demam panas itu berulang kali dibawa ke hospital berkenaan namun tetap diminta pulang kerana tidak ‘sakit teruk’.

Malangnya pada 29 Disember, mangsa iaitu Aidil @ Erjuand Christian itu dilaporkan meninggal dunia setelah bertarung nyawa dengan penyakit demam denggi berdarah.

Sangat menyayat hati, kejadian itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang prihatin dengan isu kelemahan perkhidmatan hospital.

Menurut Tangau, mangsa yang berasal dari Kampung Buleing, Tamparuli itu dibawa keluarga ke Hospital Tuaran selepas mengalami demam panas pada 25 Disember.

Selepas dibenarkan pulang kerana tidak mengalami ‘sakit teruk’, remaja itu sekali lagi dibawa ke hospital sama pada 28 Disember kerana demam panasnya belum reda.

Turut mengalami peningkatan suhu badan, mangsa bagaimanapun dibenar pulang kerana alasan sama selepas doktor di Hospital Tuaran menjalankan pemeriksaan.

Ulas Tangau, remaja terbabit sekali lagi dibawa keluarganya ke Hospital Tuaran pada 29 Disember lalu kerana gusinya telah mengalami pendarahan, lapor Harian Metro.

Mangsa akhirnya dirujukkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu sebelum doktor di hospital tersebut mengesahkannya mengalami jangkitan denggi berdarah.

“Selepas pemeriksaan dilakukan ke atas remaja terbabit, Hospital Tuaran memutuskan pesakit itu dirujukkan ke Hospital Queen Elizabeth pada hari yang sama,” kata Tangau memetik laporan Berita Harian.

Tangau yang pernah bergelar presiden parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian kerana keadaan kesihatannya sangat kritikal.

Ahli politik berusia 65 tahun itu turut kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang beranggapan beliau sebenarnya hanya mencuba untuk mempolitikkan isu tersebut.

“Ingin saya tegaskan soal nyawa manusia bukan perkara yang boleh dimainkan begitu sahaja atau dipolitikkan. Sebelum ini, saya ada menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan doktor pakar.

“(Hospital Tuaran juga kekurangan) peralatan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dalam mengesan penyakit. Apabila begitu ada pihak mengatakan saya ini tidak senang dengan doktor Hospital Tuaran,” katanya.

Jelasnya, tanggapan itu tidak benar kerana apa yang penting Hospital Tuaran menjadi hospital pakar dan mempunyai doktor pakar untuk memenuhi keperluan pengguna.

Baca juga: “Susah betul kahwin dengan anak mak, nak keluar berdua dengan suami pun dihalang…”