Malaysia Dateline

Lagi kes suap duit untuk dapat projek, jangan biarkan negara amal rasuah dalam projek perolehan

Kebelakangan ini rakyat dikhabarkan dengan satu demi satu pembongkaran rasuah membabitkan pemimpin tertinggi dan ada antara mereka sudah pun dijatuhkan hukuman atas perbuatan pecah amanah.

Semalam, dilaporkan pula dua individu yang mempunyai jawatan agak tinggi dalam sebuah syarikat ditahan selepas didakwa terlibat dalam pemberian rasuah lebih RM10 juta untuk mendapatkan projek pembinaan sistem pengangkutan awam.

Laporan itu kemudian mendapat perhatian Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menyentuh tentang isu rasuah yang semakin merebak.

Katanya, isu rasuah ini yang semakin berakar ini sudah lama menjadi tekad Pakatan Harapan untuk memerangi perbuatan itu.

“Kerana rasuah kebajikan rakyat tergadai. Kerana rasuah sesebuah negara boleh mundur terkebelakang.

“Sudah menjadi tekad Pakatan Harapan sejak sekian lama untuk terus memerangi rasuah.

“Kita tidak mahu negara kita dikenali sebagai negara yang mengamalkan rasuah terutamanya dalam projek-projek yang melibatkan sistem perolehan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Baca juga: Geng paranormal label kawasan ini berhantu tapi lain pula bagi pelari sekitar KL

Baca juga: Ekonomi negara paling parah, RM jatuh inflasi naik-Apa relevan Menteri Komunikasi dilantik tangani kos hidup?