Lagi… lagi… Mat Sabu, dakwa BN di Sungai Besar

Lagi… lagi… Mat Sabu, dakwa BN di Sungai Besar

BN Selangor melihat Parti Amanah Negara (Amanah) ketandusan calon sesuai apabila bercadang untuk mempertaruhkan  pemimpin tertinggi parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Jamal Md Yunos BN Selangor melihat Parti Amanah Negara (Amanah) ketandusan calon sesuai apabila bercadang untuk mempertaruhkan  pemimpin tertinggi parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar.

Pengerusi BN Parlimen Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos juga mempersoalkan tindakan Amanah yang bercadang untuk meletakkan calon luar seakan menutup peluang kepada calon anak tempatan.

“Saya dapati Amanah ada calon dianggap sesuai diperingkat Sungai Besar ini.

“Saya kenal beberapa individu yang dilihat lebih berkelayakan daripada Mat Sabu (Mohamad Sabu).

“Antaranya seorang yang saya kenal dia bekas ahli Pas yang sudah sertai Amanah. Dia berkelulusan dari Universiti Al Azhar.

“Saya kenali dia dan keluarganya yang juga berpengaruh kepada penduduk Sungai Besar.

“Sekiranya Amanah tidak melihat atau terlepas pandang calon anak tempatan sepertinya disenaraikan sebagai calon Amanah untuk menentang BN, rugilah,” ujarnya kepada Malaysia Dateline tanpa mahu mendedahkan nama individu yang dimaksudkannya itu.

Jamal berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad pada Isnin berkata, parti itu akan menyenaraikan nama Presidennya Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Salahuddin Ayob dan Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin serta menyenaraikan beberapa nama lain pada PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Tambah Ketua Umno Bahagian Sungai Besar ini lagi, sekiranya mana-mana pemimpin kanan parti itu sama ada Mohamad atau Salahuddin terpilih sebagai calon Amanah di Sungai Besar ini menunjukkan pemimpin utama lebih mementingkan jawatan dalam parti berbanding memenuhi aspirasi pengundi untuk melihat calon yang dekat di hati mereka.

“Saya dapati kebanyakan pemimpin pakatan pembangkang mereka masuk politik hanya kejar cita-cita untuk berebut dan pegang jawatan. Itulah yang berlaku di PRN Sarawak.

“Kerusi PKR dan DAP yang dimenangi berkurangan bukannya bertambah kerana mereka tidak bersatu untuk menentukan siapa calon pada kerusi dipertandingkan untuk menentang calon BN.

“Sikap tamak mengejar jawatan, tiada sepakatan bersama dalam gabungan pembangkang sebaliknya lebih mendahulukan perjuangan peribadi dan parti masing-masing.

“Sedangkan pengundi di luar bandar berbeza dengan pengundi di kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Di luar bandar pengundi akan lebih selesa dengan pemimpin yang mereka kenali dan senang bergaul. Memilih calon tempatan adalah strategi terbaik berbanding pemimpin utama parti walaupun mereka dikenali atau sudah lama dalam berjuang parti tetapi belum tentu pemimpin itu dekat di hati pengundi.

“Macam Wan Azizah (Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dari Parlimen Permatang Pauh bertanding pula di Dun Kajang. Walaupun beliau menang di Kajang tapi apa dah jadi dengan pengundi di Kajang, batang hidung Wan Azizah pun tidak nampak bila pengundi menghadapi masalah terutama masalah banjir.

“Orang bawahan tidak diberikan peluang memimpin sebaliknya diketepikan. Lagi…lagi…Mat Sabu, Mat Sabu, Mat Sabu,” ujarnya.

Mohamad ketika menyertai Pas pernah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal iaitu di Nilam Puri,Kubang Kerian dan Kuala Kedah. Mohamad pada 2008 pernah tewas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu semenjak itu Mohamad tidak lagi dicalonkan mana-mana kerusi Parlimen, sebelum keluar Pas dan sertai Amanah.

(dari kiri) Salahuddin Ayub  dan Mohamad SabuTambah Jamal lagi, beliau menjangkakan PRK kali ini calon Amanah tidak akan dapat memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar.

“Kalau Mat Sabu atau Salahuddin saya percaya mereka tidak akan peroleh undi melebihi calon Pas mahupun PKR kalau berlaku pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru antara BN, Pas, PKR dan Amanah.

“Ini kerana keyakinan rakyat terhadap parti serpihan yang kali pertama bertanding belum tentu dapat menarik pengundi di Sungai Besar. Itulah yang telah terbukti di Sarawak,” ujarnya.

Amanah yang bertanding 13 kerusi pada PRN Sarawak 7 Mei lalu, tidak memenangi sebarang kerusi.

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,365 pengundi pada PRU13 lalu. Penyandangnya Allahyarham Noriah Kasnon dari BN menang tipis dengan majoriti 399 undi menentang Mohamad Salleh M Hussein dari Pas.

Terang Jamal lagi ditambah dengan kegagalan Pakatan Harapan dan Pas untuk menentukan hanya satu parti menentang BN dan krisis kepimpinan dalaman membabitkan pemimpin PKR dengan Pas, Amanah dengan Pas, Pas dengan DAP, beliau mengambarkan kehadiran Amanah hanya semata-mata memecahkan undi tetapi tidak akan membawa kemenangan mudah kepada Pakatan Harapan mahupun Pas.

“Trend ini kalau berterusan dalam PRU14 dengan krisis dalam kepimpinan parti gabungan mereka, saya fikir pada PRU14 nanti Umno-BN akan terus mengekalkan kerusi Parlimen di Sungai Besar ini yang telah dimenangi selama tiga penggal,” ujarnya.

Walaupun begitu BN Selangor mengalu-alukan sesiapa sahaja calon daripada pakatan pembangkang akan dipertaruhkan untuk menentang BN.

“BN Selangor mengalu-alukan siapa sahaja calon dari pakatan pembangkang di Parlimen Sungai Besar sama ada calon itu calon payung terjun ke… dari luar atau anak tempatan ke…Umno-BN tidak gentar untuk PRK kali ini,” ujarnya optimis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan tarikh pengundian pada 18 Jun dan penamaan calon pada 5 Jun ini.

Pada Jumaat ini BN dan Pas akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Sungai Besar.

 

TAGS