Malaysia Dateline

Lagi Menteri disahkan positif Covid-19

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pada semalam.

Menerusi kenyataan pejabat Menteri berkenaan, Halimah akan menjalani rawatan dan tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Johor Bahru.

Katanya, sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan, Halimah akan terus memantau dan memastikan segala urusan Kementerian Perpaduan Negara berjalan dengan lancar.

Sebelum ini, beberapa pemimpin politik turut dijangkiti Covid-19 seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Terbaharu, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz disahkan positif Covid-19, hari ini.

Turut dikatakan positif Covid-19 adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun tidak ada sebarang pengesahan dari pejabat beliau sehingga kini.