Malaysia Dateline

Penentang Jawi dapat tempat utama dalam kerajaan Perikatan Nasional

Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting yang merupakan penentang tegar pengenalan tulisan jawi ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kini dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Majlis Pembangunan Sumber Manusia.

Hal itu dimaklumkan aktivis, Adrian Lim Chee En menerusi satu hantaran Facebook ‘lagi penentang identiti negara dilantik ke jawatan tinggi-tinggi’.

Turut disertakan pautan kepada senarai Lembaga Pengarah yang memperlihatkan Ketua Pemuda MCA itu tersenarai sebagai salah seorang ahlinya.

“Hebat MCA. Secara senyap-senyap, Ketua Pemudanya Nicole Wong Siaw Ting telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Majlis Pembangunan Sumber Manusia.

“Siapa Nicole Wong Siaw Ting Ketua Pemuda MCA ini?,” soalnya merujuk kepada wanita pertama diangkat menerajui jawatan tertinggi sayap pergerakan parti itu.

Chee En pada masa sama mendedahkan, Siaw Ting menggunapakai sijil palsu bertaraf Ijazah Sarjana dari universiti di Panama negara paling selatan di Amerika Tengah.

Bagaimanapun dakwanya, carian di internet menunjukkan bahawa universiti tersebut hanyalah kilang mengeluarkan sijil.

“Seperkara lagi. Ketua Pemuda MCA ini mempunyai ijazah sarjana (Masters) dari University of West Coast of Panama.

“Maka hari ini, kita mempunyai tambahan seorang lagi pemegang sijil palsu dan penentang Jawi/Khat yang duduk dalam Kerajaan Malaysia,” katanya.

Siaw Ting memenangi jawatan Ketua Pemuda MCA pada Pemilihan Jawatankuasa Pusat Pemuda bagi 2018 hingga 2021.

Pada November tahun lalu, MCA menjadi antara pihak yang lantang menentang pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Isu tulisan Jawi juga sempat menjadi kontroversi antara ahli akademik sekolah, wakil-wakil politik termasuk juga orang awam.