Lagi kes saman Kamarul dipindah ke mahkamah lebih rendah

Oleh ARIF ATAN

Malaysia Dateline dimaklumkan bahawa sekurang-kurangnya terdapat dua lagi saman yang telah difailkan oleh Dr Kamarul Zaman Yusoff telah diarahkan untuk dibicarakan di mahkamah rendah iaitu di Mahkamah Sesyen.

Kali ini saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap peguam Mohd Fitri bin Dato’ Asmuni Awi yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak.

Pada peringkat awal saman tersebut, pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu telah menuntut terhadap Mohd Fitri sejumlah RM5 juta atas dakwaan fitnah yang dibuat terhadapnya.

Kamarul menuntut jumlah itu berikutan penerbitan dua artikel di Facebook milik Mohd Fitri iaitu artikel bertarikh 22 Mei 2017 yang bertajuk ‘Dr Kamarul Yusoff, Cybertrooper Bertaraf Doktor’ dan artikel bertarikh 25 Mei 2017 bertajuk ‘Dr Kamarul Zaman Yusoff Kaki Putar Belit, Astora Jabat Masa Kini’.

Kedua-dua artikel tersebut masih lagi boleh diakses di Facebook Mohd Fitri.

Terdahulu, difahamkan bahawa Mohd Fitri telah berjaya membuat permohonan kepada Hakim Mahkamah Tinggi untuk membatalkan jumlah tuntutan RM5 juta yang dibuat Kamarul itu sebelum kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen bagi tujuan perbicaraan penuh.

Khuatir 

Kes lain yang diarah untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen adalah kes saman Kamarul terhadap seorang aktivis politik, Jamzuri Ardani.

Kamarul telah membuat tuntutan terhadap Jamzuri berikutan satu artikel penulisan Jamzuri di Facebook miliknya pada 5 April tahun lalu.

Artikel Jamzuri itu ditulis bagi menjawab artikel Kamarul sendiri pada 4 April 2020 bertajuk ‘AMANAH DILATIH UNTUK SETIA KEPADA DAP?’

Dalam hantaran itu, Kamarul telah merujuk dan mengulas kembali kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Maza) yang menuduh parti AMANAH dan pemimpinnya terlalu setia dengan parti DAP.

Artikel Kamarul tersebut telah dikongsi oleh ramai pihak menyebabkan Jamzuri membuat maklum balas.

Walau bagaimanapun, berikutan respon balas oleh Jamzuri itu menyebabkan Kamarul telah menyaman Jamzuri sebanyak RM5 juta.

Namun, sebelum saman Kamarul terhadap Jamzuri ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, peguam Kamarul telah berjaya memohon kepada Hakim Mahkamah Tinggi untuk membatalkan amaun tuntutan RM5 juta.

Kini, kes itu juga akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen yang hakikatnya tidak akan memberikan penghakiman sebanyak RM5 juta kepada Kamarul jika Kamarul berjaya sekalipun membuktikan artikel itu sebagai fitnah.

Persoalan yang belum terjawab lagi adalah apakah sebabnya Kamarul memindahkan kes-kes saman fitnah ini ke Mahkamah Rendah dan tidak meneruskan kes di Mahkamah Tinggi?

Adakah Kamarul tidak yakin bahawa kesnya akan berjaya di Mahkamah Tinggi atau Kamarul khuatir tentang kos yang mungkin lebih tinggi?

Setakat ini, Kamarul masih tidak memberikan sebarang respon tentang hal ini di Facebook miliknya.