Malaysia Dateline

Lagi tata kelola baik kerajaan diterajui PM Anwar – Syarikat swasta jangan taja lawatan penjawat awam ke luar negara

Urusan perolehan kerajaan di bawah pentadbiran diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat lebih berakauntabiliti dan mencerminkan tata kelola baik susulan ketetapan terbaharu oleh Perbendaharaan.

Pembiayaan kos penjawat awam untuk lawatan ke luar negara berkaitan perolehan kerajaan bukan lagi dibiayai syarikat swasta sebaliknya dibiayai sepenuhnya melalui obligasi kontrak.

Perbendaharaan menetapkan perkara itu menerusi pekeliling baharu Tugasan Ke Luar Negara berkaitan Perolehan Kerajaan PK 2.14, berkuat kuasa 20 Disember lalu.

Menurut pekeliling itu, pembiayaan terhad kepada tugasan pemeriksaan sebelum penerimaan (PDI), Ujian Penilaian Kilang (UPK), Laporan Pemantauan Projek (PMR), Mesyuarat Pelapiran Eksekutif (ERM), Ujian Akhir Penerimaan (FAT),Transfer of Title (TOT); dan latihan.

Keperluan dan kos pembiayaan tugasan ke luar negara dinyatakan dengan jelas di dalam tawaran serta kontrak perolehan tersebut.

Pekeliling itu menetapkan kos tersebut adalah berdasarkan kelayakan rasmi mengikut gred pegawai merangkumi bilangan pegawai terbabit, elaun makan minum, kos pengangkutan, penginapan, lain-lain elaun, tempoh lawatan atau latihan, tarikh tentatif dan kekerapan lawatan atau latihan.

PM Anwar banyak kali mengingatkan bahawa tata kelola pentadbiran kerajaan dipimpinnya tidak akan mengizinkan ketirisan dan rasuah terus berleluasa. Gambar hiasan

Dalam masa sama, jumlah pegawai terbabit dengan tugasan, hendaklah dihadkan kepada yang perlu sahaja serta berkaitan dengan kepakaran teknikal perolehan berkenaan.

Bilangan wakil kerajaan hendaklah tidak lebih daripada tiga orang pegawai sahaja, terdiri daripada seorang pegawai yang terbabit dengan perolehan dan sekurang-kurangnya seorang pegawai teknikal.

Turut ditetapkan ialah nilai perolehan bagi tugas ke luar negara selepas pelawaan tender yang mestilah melebihi RM10 juta kecuali perolehan haiwan.

Keperluan dan bilangan wakil kerajaan untuk mengadakan tugasan ke luar negara telah dinyatakan dengan jelas di dalam dokumen kontrak dan kos pembiayaan tugasan ditanggung oleh kerajaan.

Agensi hendaklah memastikan bahawa harga tawaran syarikat, termasuk kos tugasan untuk wakil kerajaan.

Tempoh tugasan yang dibenarkan adalah tidak melebihi tujuh hari (tidak termasuk hari perjalanan) kecuali bagi program latihan yang perlu ditentukan mengikut syarat kontrak.

Jika perolehan itu akan membabitkan lawatan atau latihan ke luar negara, agensi hendaklah menyatakan sedemikian di dalam dokumen pelawaan tender bahawa pembekal atau kontraktor hendaklah menyatakan anggaran kos berkaitan secara berasingan dan jelas dalam tawaran tender.

Jika tender telah dipelawa tanpa menyatakan kos lawatan atau latihan yang terbabit, maka agensi tidak dibenarkan untuk membuat sebarang lawatan atau latihan berkaitan perolehan itu.

Amalan menerima lawatan atau latihan yang dibiayai pembekal atau kontraktor adalah dilarang sama sekali dan pegawai kerajaan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Pembekal atau kontraktor yang menawarkan lawatan atau latihan keluar negara boleh diambil tindakan termasuk disenarai hitam dan tidak dipertimbangkan untuk perolehan lain.

Menerusi pekeliling sebelum ini, pembiayaan kos lawatan ke luar negara berkaitan perolehan kerajaan hendaklah dibiayai sepenuhnya menggunakan peruntukan tahunan Belanja Mengurus di bawah agensi masing-masing.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim, berkata langkah terbaharu diambil oleh Perbendaharaan itu adalah untuk mewujudkan lebih ketelusan dan akauntabiliti dalam urusan perolehan kerajaan.

“Keperluan perjalanan untuk kerja-kerja pemeriksaan, antara lainnya, mesti ditetapkan terdahulu dalam kontrak dan kos yang disenaraikan.

“Syarikat yang terbabit dalam kontrak tidak dibenarkan membiayai perjalanan sedemikian kerana hanya dengan cara itu, penilaian oleh wakil kerajaan boleh menjadi bebas,” dipetik BH.

Baca juga Penduduk Kampung Sungai Baru rayu campur tangan PM Anwar