Lagu 12 tahun lalu tular semula sampai ke TikTok Indonesia, Asmidar anggap peluang kedua untuk menyinar

Oleh KIM SYAZIE

Siapa sangka, penyanyi Asmidar Ahmad yang kian menyepi dari industri nyanyian tiba-tiba menjadi sohor kini di media sosial selepas lagu yang diterbitkan 12 tahun lalu kembali tular.

Bagai rezeki terpijak, Asmidar juga mengakui tidak menyangka lagu Biar Sampai Ke Bintang nyanyiannya kembali menghantui ramai terutamanya di platform TikTok.

“Sebenarnya saya terkejut bila tahu lagu Biar Sampai Ke Bintang tular. Saya tak tahu lagu ini popular semula kerana sibuk berniaga.

“Orang selalu cakap lagu saya sering lalu di For Your Page (FYP), jadi saya anggap ia perkara biasa bila orang guna lagu Biar Sampai Ke Bintang sebagai lagu latar.

“Bila ramai ‘tag’ di setiap posting, barulah saya tahu lagu ini sudah tular. Saya cuma tak sangka kenapa lagu Biar Sampai Ke Bintang kembali tular,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Lebih mengejutkan, Asmidar terharu apabila lagu ciptaan penyanyi dan komposer terkenal, Ajai itu berjaya menembusi sehingga ke Indonesia dan kini menjadi siulan ramai.

Dia juga tidak menduga lagunya menjadi fenomena sehingga menerima banyak mesej daripada peminat Indonesia.

“Bila orang Indonesia pula maklum pada saya yang lagu Biar Sampai Ke Bintang dah popular, itu buatkan saya teramat terkejut.

“Mereka doakan karier saya semakin berkembang, jadi itu buatkan saya terkejut dan terharu.

“Ada juga yang ingat saya orang Indonesia. Inilah bagusnya ada media sosial, sebelum ini saya rasa sangat mustahil berlaku kepada saya, Alhamdulillah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Asmidar yang pernah menjuarai program nyanyian Vokal Bukan Sekadar Rupa 2011 itu tidak berkecil hati masih ramai tidak mengenalinya biarpun lebih sedekad bergelar penyanyi.

“Itu bukan satu perkara mengejutkan kerana suatu masa dahulu pun orang kenal saya melalui satu lagu sahaja iaitu Biar Sampai Ke Bintang.

“Kemudian saya akui karier nyanyian saya agak suram dan ini adalah peluang kedua buat saya.

“Saya anggap ini perjalanan yang mencabar dan asam garam dalam kerjaya saya,” ujarnya lagi seperti dilapor.

Baca juga: Punyalah panik! Bapa takbir raya di telinga anak baru lahir undang tawa netizen