Lagu dendangan Saleem peneman jiwa Guan Eng

Lagu dendangan Saleem peneman jiwa Guan Eng
Lim Guan Eng

Lim Guan Eng

Pemergian vokalis kumpulan Iklim, Allahyarham Saleem atau nama sebenarnya A M Salim Abdul Majeed, bukan sahaja diratapi peminatnya, malah turut meninggalkan kesan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menerusi laman Twitternya, Lim yang amat sedih atas pemergian Saleem berkata beberapa lagu rock dendangan penyanyi itu bukan sahaja berjaya menawan hatinya malah turut menjadi peneman jiwa ketika berjuang dalam pihak pembangkang suatu ketika dahulu.

Beliau juga menarik perhatian mendengar lagu popular kumpulan Iklim, Suci Dalam Debu merupakan kenangan manis kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang pada awal 1990-an.

“Semoga Allahyarham tenang abadi di sana. Salam takziah buat keluarga Saleem,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengucapkan salam takziah kepada semua ahli keluarga Allahyarham Saleem.

“Semoga ditempatkan di kalangan orang beriman, Insya-Allah,” katanya di laman Twitter.

Allahyarham Saleem meninggal dunia kira-kira 6 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras dan disolatkan di surau As-Syakirin di Bukit Mahkota, Cheras.

Allahyarham Saleem selamat dikebumikan pada 2.15 petang ini di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras.

Saleem, 57, yang popular dengan lagu ‘Suci Dalam Debu’, dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya pada 20 Sept lepas yang antara lain menyebabkan kecederaan pada tulang rusuk.