Siapa sangka lagu raya popular berjudul ‘Bersama di Hari Raya’ yang sentiasa didendangkan di corong radio, dinyanyikan oleh seorang penyanyi yang berbangsa India.
Dengan liriknya yang mudah difahami dan kefasihan menyebut setiap bait patah perkataan, tiada siapa boleh menduga ia dibawa seorang penyanyi bukan Melayu.
Difahamkan, penyanyi lagu berkenaan merupakan dua orang adik beradik yang merupakan kumpulan Cenderawasih.
Cenderawasih merupakan sebuah kumpulan penyanyi adik beradik yang ditubuhkan pada 1981, dianggotai oleh Helen Savaree dan Irene Savaree.
Perkongsian seorang pengguna TikTok berkenaan hal itu ternyata membuatkan ramai terkejut, menyedari selama ini mereka menyangka hanya penyanyi Melayu sahaja yang mendendangkan lagu-lagu raya Aidilfitri.
Untuk rekod, kumpulan duo itu memiliki banyak lagu hits termasuk Deritamu Deritaku yang dikeluarkan pada 1984. Sepanjang karier mereka, Helen dan Irene terlibat dalam 3 album di bawah kumpulan Cenderawasih.
Kedua duanya bukan calang-calang kerana mereka adalah adik-beradik yang merupakan graduan dalam pendidikan muzik di Berklee College of Music di Boston.
Sementara itu meninjau ke ruangan komen, ramai yang tertanya-tanya di mana keberadaan dua beradik ini dan ingin tahu perkembangan karier mereka sebagai penyanyi.
“Umur 36 baru aku tahu India yang nyanyi. Seronok. Siapa komposer lagu ni ye, takkan mereka buat sendiri,” komen Amirul.
“Sekarang dah berapa agaknya usia dua penyanyi ini?,” tanya Zali.
Untuk rekod, lagu Bersama di Hari Raya dikeluarkan pada 1985. Jika dikira-kira, sudah 39 tahun usia lagu ini. Jika dia membuat rakaman lagu tersebut sekitar umurnya 20 tahun, dia kini mungkin sudah mencecah umur 60 tahun.
Ada yang memberitahu salah seorang penyanyi tersebut sudah pun berpindah ke Switzerland mengikuti suaminya.
Namun sehingga kini tidak dapat dipastikan perkembangan kedua beradik tersebut. Yang pasti rakyat Malaysia masih menantikan khabar mereka.
Baca juga: “Naik hantu betul dengan kakak suami, selamba dia bawa kereta aku bayar pergi berjalan”