Malaysia Dateline

Lagu Selamanya Malaysia olahan kreatif, bangkit semangat cinta negara

Lagu patriotik Selamanya Malaysia yang dilancarkan hari ini dilihat dapat membangkitkan semangat kecintaan pendengar terhadap negara Malaysia melalui lirik yang mudah difahami dan dihayati.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ahmad Rithaudin Md Noor berkata demikian semasa memberikan komentar mengenai video muzik lagu tersebut.

“Melodi lagu ini juga senang diingati dan mempunyai struktur yang mudah dihafal dan dinyanyikan oleh pelbagai kumpulan umur dan etnik,” kata beliau.

Tambahnya, gaya lagu ini adalah kontemporari dan sangat bersesuaian dengan kehendak dan selera muzik masyarakat Malaysia kini.

Bagi beliau, visual yang relevan dalam video ini juga telah menguatkan lagi makna lagu ini dengan mengambil kira elemen multiculturalism (faham pelbagai budaya) di Malaysia.

“Lagu ini juga amat relevan dengan keadaan negara sekarang ini dengan memasukkan visual peristiwa-peristiwa terkini seperti pandemik dan Sukan Olimpik, di antaranya,” ujarnya.

Menurut Dr Rithaudin, apabila kali pertama mendengarnya, beliau terus dapat memahami kehendak dan makna lagu ini.

Namun begitu, beliau berpandangan, mungkin ada satu skala yang kurang kerana ada elemen rap yang tidak memungkinkan lagu ini dinyanyikan beramai-ramai.

“Secara keseluruhannya, lagu ‘Selamanya Malaysia’ telah dapat mencerminkan sentimen kecintaan pendengar terhadap tanah air melalui gabungan kreatif muzikal, bahasa, visual dan olahan kreatif yang bersesuaian dengan selera dan kehendak masyarakat Malaysia kontemporari,” jelas beliau.

Lagu Selamanya Malaysia merupakan sebahagian daripada aktiviti Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 yang berlangsung pada 15 Ogos hingga 16 September ini yang dianjurkan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Sinar Harian.

Video muzik lagu ini boleh disaksikan di saluran TV IKRAM  di sini.

Sila klik ‘like’, komen dan kongsikan video muzik lagu patriotik IKRAM ini kepada seluruh rakyat Malaysia.

——————————————–
Penulis adalah Penolong Pengurus, Jab. Penyiaran & Komunikasi IKRAM.