Lah, guna duit syiling pun boleh? Mekanik ajar cara mudah kesan tayar botak

Oleh WAN SITI AMINAH

Keadaan tayar adalah perkara asas yang wajib diberi perhatian oleh pemilik kereta terutamanya kenderaan untuk kegunaan harian.

Penting untuk mengelakkan risiko berbahaya seperti kemalangan, pemilik kenderaan perlu menukar tayar sekiranya bahagian jalur atau bunga pada getah itu sudah haus.

Hal ini kerana, bunga atau jalur yang menipis dijangka akan melemahkan cengkaman tayar sewaktu brek ditekan sehingga menyebabkan kenderaan boleh hilang kawalan.

Menyedari kegusaran orang ramai, seorang mekanik tampil membuat perkongsian mengenai kaedah yang mudah bagi mengenal pasti bunga tayar yang telah botak.

Percaya atau tidak, mekanik yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah itu memeriksa ketebalan bunga itu dengan hanya menggunakan sekeping wang syiling bernilai 10 sen.

Turut memuat naik video di laman TikTok, berikut kami kongsikan panduan daripada mekanik TikTok yang menggunakan akaun @abangcomot.

Cara-cara:

1. Sediakan sekeping duit syiling dan cari lambang berbentuk segi tiga pada tayar kereta.

2. Letak duit syiling dalam jalur tengah tayar secara menegak mengikut kedudukan tiga segi itu.

3. Sekiranya perkataan ‘Malaysia’ pada syiling itu tidak kelihatan, bermakna bunga tayar kereta anda masih dalam keadaan baik.

Perkara ini bermakna jika perkataan Malaysia sudah timbul, pemilik kenderaan boleh mempertimbangkan untuk menukar tayar botak atau tidak boleh digunakan lagi itu.

Tular di media sosial, video berkenaan sudah berjaya meraih lebih daripada sejuta tontonan dan sebanyak 10,300 tanda suka daripada pengguna platform media sosial TikTok.

Baca juga: Fazura dituduh ‘clubbing’ dan tidak bertudung, ini jawapan tuan badan “saya tak pernah kata terpaling solehah, tapi…”