Lahir anak tahun depan dapat RM500 – ‘Bukannya duit tu dapat setiap bulan sepanjang hayat anak pun’

Oleh ARIF ATAN

Ramai pasangan suami isteri nampaknya teruja dengan pengumuman berkenaan lahir anak tahun depan terima RM500 seperti yang terkandung dalam Bajet 2023.

Dalam mana-mana laporan berita mengenai inisiatif Cahaya Mata Keluarga Malaysia itu, ada yang dilihat ‘menanda’ pasangan masing-masing di media sosial.

Namun, ada juga warganet yang mengingatkan bahawa bantuan tunai tersebut secara ‘one-off’ bukannya setiap bulan.

Malah, inisiatif berkenaan khusus untuk ibu daripada isi rumah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bukannya terbuka untuk semua.

Bantuan yang hanya diberi kepada ibu itu juga dilihat jauh tidak mencukupi dengan situasi kenaikan harga barang ekoran lonjakan inflasi setiap bulan bukannya setiap tahun.

“Bukannya RM500 tu dapat setiap bulan sepanjang hayat anak pun. Nak tambah anak semua duit oii,” kata seorang warganet.

Dalam masa sama, ada yang berseloroh supaya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan katil di wad bersalin ditambah tahun depan.

Tidak kurang juga yang mengingatkan supaya peruntukan untuk inisiatif itu mencukupi agar tidak mengulang ‘nasib’ Inisiatif Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) yang telah dihentikan akhir tahun 2018.

Untuk rekod, peruntukan bagi inisiatif Cahaya Mata Keluarga Malaysia mencecah RM150 juta.

Baca juga ‘Umpan PRU-15’: Karikatur gaya chef Salt Bae tarik perhatian orang ramai

Baca juga Rupanya kucing ini takut bunyi enjin, menyorok dalam rumah