Lahirkan anak sendirian, kakitangan zoo akhirnya rungkai misteri siapakah bapa ungka

Oleh KIM SYAZIE

Kakitangan sebuah zoo di Jepun akhirnya dapat merungkai bagaimana seekor ungka yang hidup di sangkar sendirian boleh mengandung.

Dua tahun lalu, seekor Ungka yang berusia 12 tahun mengejutkan penjaganya apabila secara tiba-tiba melahirkan anak.

Hal ini kerana, haiwan betina yang diberi nama Momo itu tidak pernah bergaul dengan ungka berjantina jantan.

Momo sebenarnya ditinggalkan sendirian dalam sangkarnya di Zoo Kujukushima dan Taman Botani, Nagasaki, Jepun.

Musykil dengan keajaiban itu, kakitangan zoo mula mengadakan ujian darah paterniti atau data asid deoksiribonukleik (DNA).

Ujian itu dijalankan bagi menyelesaikan misteri siapakah bapa kepada bayi seberat dua kilogram itu.

Hasilnya, keputusan menunjukkan seekor ungka yang duduk di sangkar bersebelahan Momo merupakan bapa bayi itu.

Ungka jantan yang bernama Ito itu berjaya mengawan dengan Momo melalui ruang kecil di sangkar keluli mereka yang berukuran 9 milimeter.

Berita itu disambut baik oleh kakitangan zoo berikutan ungka telah disenaraikan dalam spesies terancam.

“Satu kehidupan yang berharga telah lahir ke dunia, kami akan terus menjaganya dengan baik.

“Kami berharap ia akan menjalani kehidupan yang sihat sepanjang hayat,” kata Timbalan Pengarah Zoo, Hideki Hisano.

Baca juga: Takut tercalarkan kereta, pekerja pembersihan minta alih kenderaan tapi kena marah pula