Laksana gaji minimum RM1,500 sebelum cabar anak muda buat ‘kerja kotor’

Laksana gaji minimum RM1,500 sebelum cabar anak muda buat ‘kerja kotor’

Putrajaya disaran segera melaksanakan gaji minimum RM1500 dan melaksanakan langkah-langkah membantu menguatkan kesatuan sekerja sebelum mencadangkan generasi muda melakukan kerja-kerja ‘kotor, susah dan berbahaya’ yang banyak dilaksanakan pekerja asing.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar anak muda mengambil alih kerja-kerja yang diisi pekerja asing cukup menarik tetapi pramatang.

“Adakah Ahmad Zahid benar-benar memahami sebab kenapa anak muda hari ini enggan bekerja di sektor perladangan atau mana-mana sektor yang disebut ‘3D’ atau ‘Dirty, Difficult and Dangerous’ atau ‘Kotor, Susah dan Berbahaya’?” soal beliau.

Fahmi yang juga Naib Ketua AMK turut menggesa Putrajaya melaksana langkah-langkah tertentu seperti meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 seperti dicadangkan pembangkang dan memastikan hak pekerja terjamin dengan menguatkan kesatuan sekerja.

Kerajaan juga, tambahnya perlu memastikan sistem pendidikan vokasional yang menyediakan golongan muda dengan rangkaian atau jaringan industri yang lebih menyeluruh.

Beliau turut menyarankan insentif diberi kepada pemodal, pemilik syarikat, dan paling penting anak muda untuk mengambil alih kerja-kerja yang dimonopoli pekerja asing, terutama melalui geran untuk meningkatkan teknologi yang diguna dalam bidang-bidang kerja tersebut.

“Tanpa melaksana langkah-langkah di atas, gesaan Ahmad Zahid hanyalah retorik semata-mata dan bukannya niat ikhlas untuk membantu anak muda mengambil alih kerja yang diisi pekerja asing,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

TAGS