Malaysia Dateline

Laksana moratarium tindakan politik, gesa Majlis Presiden PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri agar segera melaksanakan moratorium tindakan politik di saat negara sedang berhadapan ancaman penularan Covid-19.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama hari ini menegaskan bahawa, ahli-ahli politik perlu bekerjasama demi negara.

Katanya, pada waktu ini seluruh tenaga rakyat perlu dirangkul dan digabungkan tanpa mengira kaum, agama mahu pun faham politik.

“Itu semua perlu dilakukan untuk melandaikan keluk wabak Covid-19 ini serta menyelesaikan kemelut ekonomi yang semakin menjelma.

“Sebarang tindakan bersifat politik pada waktu ini pasti disalah tafsir dan mengundang amarah rakyat, langsung menghilangkan fokus terhadap usaha memerangi wabak ini dan memulihkan negara,” katanya.

Kenyataan bersama Majlis Presiden PH itu adalah antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut kenyataan itu lagi, Majlis Presiden turut memohon agar Ahli-Ahli Parlimen yang dipaksa menjadi pembangkang dilibatkan dengan lebih aktif dalam usaha mengekang penularan wabak.

Katanya, maklumat terperinci daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan jumlah kes positif Covid-19 di setiap kawasan Parlimen, sewajarnya dipanjang kepada Ahli Parlimen kawasan tersebut.

“Maklumat itu seharusnya dipanjangkan supaya Ahli Parlimen yang mewakili rakyat di kawasan terkesan, agar boleh turut sama membantu.

“Kami mencadangkan agar pakej rangsangan ekonomi Perdana Menteri hari ini memberi fokus khusus kepada aspek kebajikan pekerja dan majikan.

“Kami berharap majikan dan syarikat-syarikat dapat dibantu agar mereka tidak memecat atau menamatkan perkhidmatan pekerja dan para pekerja dapat diberi bayaran gaji yang mencukupi untuk menampung kehidupan di saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Dalam memerangi penularan wabak ini, Majlis Presiden turut mencadangkan kerajaan membayar gaji minima sebanyak RM1,200 sebulan kepada semua pekerja Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan ke bawah.

“Kerajaan juga boleh memujuk semua pemilik premis memberikan potongan 50 peratus kadar sewa untuk tiga bulan dan moratorium selama enam bulan untuk pembayaran sewa,” katanya lagi.