Laksana perubahan, kembalikan kekayaan negara kepada rakyat

Saya mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat negara yang tercinta ini. Sesungguhnya ini adalah salah satu rahmat kurniaan Allah kepada rakyat negara ini yang wajib disyukuri.

Malaysia yang dibentuk pada 16 September 1963 dibangunkan atas semangat muafakat yang utuh bagi membangunkan potensi ekonomi dan memelihara kestabilan politik dari Perlis hinggalah ke Sabah.

Walau bagaimanapun, selepas penubuhan negara ini dengan tujuan untuk mencegah pengaruh komunis daripada berkembang kerana risikonya yang boleh menggugat kestabilan politik negara, selepas komunis pergi, saya melihat negara masih berhadapan dengan risiko yang sama.

Selepas komunis dianggap mengancam kestabilan politik, masalah jurang kekayaan pula menjadi beban baharu dengan risiko yang sama dan masih belum dibasmi sepenuhnya oleh kerajaan pimpinan Umno-BN dengan berkesan.

Saya petik pandangan sarjana tempatan, Dr Muhammed Abdul Khalid dalam buku terjemahan ‘The Colour of Inequality’ yang mengatakan “ketidaksamarataan jurang ekonomi yang besar dalam kalangan rakyat merupakan bom jangka yang boleh mencetuskan pertumpahan darah, pergolakan sosial serta ketidakstabilan politik”.

Beliau turut mendedahkan fakta yang mengejutkan iaitu jurang pendapatan antara isi rumah bandar dan di kampung pada tahun 2012 adalah sama seperti pada tahun 1957!

Walaupun Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berulang kali menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, apa yang saya khuatir adalah hanya negara sahaja memiliki tahap pendapatan itu dan bukannya rakyat.

Sudah tentu, dengan pelbagai tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat ketika ini khususnya kenaikan berterusan harga bahan api dan harga-harga barang lain boleh berisiko menjadi ‘peledak’ kepada amarah rakyat pada bila-bila masa.

Tawaran Pakatan Harapan

Saya dan pimpinan Pakatan Harapan menolak sebarang revolusi berbentuk kekerasan sehingga berlaku pertumpahan darah dan korban nyawa. Justeru Pakatan Harapan menawarkan alternatif pentadbiran baharu yang lebih segar dan berkesan untuk dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pakatan Harapan menawarkan peralihan kerajaan bagi membaiki kegagalan pentadbiran Umno-BN dalam membangunkan menguruskan kekayaan negara yang hanya menambah pemilikan segelintir yang berkepentingan sahaja.

Mendepani Malaysia yang suram dengan sentimen perkauman dan agama yang sempit yang turut dimainkan oleh ‘sekutu baharu’ Umno-BN dan pengolahan khazanah negara yang pincang, inilah masanya untuk rakyat sendiri bangkit membuat perubahan melalui wadah demokrasi.

Dr Siti Mariah Mahmud ialah Ahli Parlimen AMANAH Kota Raja dan Ketua AWAN Nasional 

CATEGORIES
TAGS