Malaysia Dateline

Laksana segera potong 30 peratus gaji menteri, timbalan menteri

Ahli Dewan Negara, Senator Aiman Athirah Al Jundi berpendapat gaji menteri dan timbalan menteri wajar dipotong 30 peratus memandangkan kedua-dua jawatan itu sekurang-kurangnya menerima dua pendapatan.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional itu berkata, turut menerima elaun Ahli Parlimen selain gaji sebagai menteri dan timbalan menteri.

“Peruntukan bagi aktiviti pusat khidmat di kawasan-kawasan mereka pula adalah berasingan daripada dua di atas dan ia juga dalam jumlah yang besar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyokong cadangan Ahli Parlimen Langkawi dan Semporna agar gaji Menteri dan Timbalan Menteri dipotong 30 peratus.

Jelasnya, langkah itu patut segera dilaksanakan dengan peruntukan tersebut boleh disalurkan kepada rakyat yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Mereka (menteri dan timbalan menteri) tidak akan terkesan pun dengan pemotongan ini, apatah lagi seluruh aktiviti dan perjalanan harian mereka yang diklasifikasikan sebagai tugas rasmi adalah ditanggung oleh kerajaan.

“Mereka tidak perlu seperti contohnya mengisi petrol, atau membayar tol menggunakan wang poket sendiri.

“Rumah, elektrik talian telefon dan banyak lagi yang berupa perbelanjaan juga adalah ditanggung oleh dana awam,” jelas Athirah.

Mengulas peruntukan yang besar disalurkan demi kepentingan parti-parti pemerintah seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara, beliau berkata, hal tersebut sangat menyedihkan.

“Saat ini rakyat berhadapan dengan suasana di bawah yang sangat sukar. Peruntukan Belanjawan 2021 punya banyak ruang yang boleh dilorongkan untuk membantu rakyat yang kehilangan mata pencarian, jauh lebih wajar.

“Ia bukan sahaja menyedihkan, malah sepatutnya memalukan kita semua ahli-ahli politik Malaysia,” ujar Athirah lagi.