Malaysia Dateline

Laksana ‘Smart-PKP’ untuk kurangkan jumlah kes baharu COVID-19

Industri yang telah terpilih untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinasihatkan untuk mengikuti syarat ditetapkan.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, industri terlibat perlu melakukan sanitasi berkala di premis terutamanya di permukaan kaunter, lif dan lain-lain tempat.

Selain itu katanya, saringan juga perlu dilakukan ke atas pekerja dan pelanggan apabila mereka masuk ke dalam premis.

“Kemudian, pelanggan dan pekerja perlu dipastikan bahawa mereka mengamalkan penjarakan sosial.

“Tempat basuh tangan atau pun cecair basmi kuman perlu disediakan dan semua pekerja serta pelanggan wajib memakai topeng muka,” katanya sambil mencadangkan sekiranya sistem pendaftaran pelanggan boleh dilaksanakan.

Untuk mengurangkan jumlah kes baharu, Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, kerajaan harus melaksanakan Smart-PKP iaitu memperketatkan kawalan di kawasan kediaman dimana jangkitan berlaku.

Katanya, kebanyakan kawasan atau lokaliti mengikut taman atau kampung adalah kawasan hijau yang seharusnya diberikan kelonggaran.

“Kaedah yang diguna pakai oleh kerajaan dengan melabelkan risiko jangkitan mengikut daerah tidak membantu kerana lebih 90 peratus (daerah) adalah zon merah.

“Selain itu, dapatan keputusan ujian Covid-19 pada hari yang sama juga harus menjadi sasaran supaya usaha kawalan tidak terjejas disebabkan masa yang panjang untuk mengetahui keputusan ujian wabak tersebut,” ujarnya lagi.