Malaysia Dateline

Laksana sumbangan berterusan bantu golongan sasaran

Sumbangan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan harus dilaksanakan secara berterusan tanpa bermusim dan menjadi rutin sudah pasti banyak golongan sasaran dapat dibantu.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh, ketika menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Rumah Pangsa Ampang Jajar, Mak Mandin, Butterworth.

Jelasnya lagi, sumbangan yang diberikan kepada golongan sasaran tidak dilaksanakan secara bermusim atau berkala.

Sebaliknya ia diteruskan sejak memenangi pilihan raya umum yang lalu sehingga kini.

“Kita meneruskan agenda kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membela golongan yang memerlukan tanpa mengambil kira bangsa maupun keturunan mereka.

“Begitu juga dengan fahaman politik mereka, tidak pernah diambil kira kerana bantuan adalah kepada semua golongan sepertimana yang diperjuangkan oleh kerajaan PH.

“Oleh kerana itu, siapa sahaja yang didapati berada dalam situasi yang memerlukan, dokongan akan diberi untuk meringankan beban mereka, ” tegasnya lagi.

Antara penduduk yang menerima sumbangan beras dan makanan di Rumah Pangsa Ampang Jajar, Mak Mandin.

Malah ujarnya, polisi yang diamalkan oleh kerajaan PH di Pulau Pinang amat mementingkan keperluan golongan miskin dan mereka yang memerlukan.

Rentetan itu kata Alan, pelbagai program yang telah disediakan serta dianjurkan oleh PKR Cabang Bagan.

“Kami bukan sahaja memberi sumbangan dan bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, golongan kurang upaya dan juga miskin, tetapi juga meneruskan program kerajaan negeri dan juga Pusat.

“Pengumpulan makanan dan sayur-sayuran turut diberikan kepada pelbagai golongan masyarakat di pelbagai kawasan dalam Parlimen Bagan.

“Setiap Dun yang ada dalam kawasan Parlimen Bagan diberi perhatian sehingga kini melalui aktiviti dan program turun padang secara rutin dan kerap, ” tambahnya lagi,

Sejajar dengan itu katanya, menyediakan sumbangan sayur-sayuran dan makanan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah merupakan program ‘Mesra Komuniti’ terkini yang sedang dan akan berterusan demi meringankan beban mereka.