Laksanakan amanah terjemah ke akar umbi ubah persepsi Melayu terancam

Laksanakan amanah terjemah ke akar umbi ubah persepsi Melayu terancam

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman mengakui wujudnya keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu selepas setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Walau bagaimanapun, bekas Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu berpendapat situasi tersebut bergantung kepada sejauh mana iltizam politik di pihak pemimpin Melayu sendiri.

“Persepsi itu (keresahan orang Melayu) memang ada. Namun, atas kita juga, bergantung bagaimana orang Melayu yang diberi amanah daripada menteri hingga kepada agensi kerajaan termasuk pegawai kanan buat kerja masing-masing.

“Macam saya yang terlibat dengan Felda yang sinonim dengan Melayu. Contoh lagi, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub yang jaga MOA (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani).

“Kementerian ini yang banyak dikaitkan dengan Melayu, jadi bagaimana pemimpin melaksanakan amanah sebaik-baiknya sekali gus dapat mengubah persepsi tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Malaysia Dateline di Menara LPP, Jalan Sultan Salahuddin di ibu kota baru-baru ini.

Mengulas tentang kesungguhan kalangan pemimpin DAP dalam menyuarakan kepentingan bukan Melayu, Mazlan berkata, isu perkauman akan mudah diheret sekiranya pemimpin Melayu dilihat gagal ‘menjaga’ Melayu.

“Hal ini akan terdedah kepada isu perkauman kalau kita tidak jaga. Jadi, pemimpin Melayu kena buktikan. Kalau tidak jaga, memang akan timbul persepsi negatif sehingga mengaitkan DAP.

“Memang dari sudut sentimen, isu DAP paling mudah dimanipulasi, dari dulu pun mudah saja tercetusnya isu perkauman. Persepsinya begitu.

“Namun, DAP pun nak jaga sokongan pengundi Cina. Itu kekuatannya kerana bertanding di kawasan ramai pengundi Cina. Mestilah dia cakap isu tentang kaum Cina. Jadi, adalah yang dia cakap itu terlajak.

“Tapi kita harus mengimbangi dengan isu Melayu. Kalau kita dapat terjemahkan isu-isu melibatkan kepentingan Melayu sehingga ke akar umbi, orang Melayu akan nampak pemimpin dari AMANAH, PKR dan Bersatu jaga Melayu.

“Jadi, seimbanglah. Tapi jangan kita (pemimpin Melayu) lemah dan tidak fokus sementara kawan DAP kita ‘laju’,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mazlan berpendapat orang Melayu akan menganggap hak dan kepentingan mereka terjaga dan dibela sekiranya pemimpin PH di segenap peringkat komited membetulkan semula segala bentuk kepincangan urus tadbir Umno-BN sebelum ini.

“Dulu BN korup, tapi tidak buat apa-apa selepas kita (PH) ambil alih, orang Melayu akan kata kita tidak jaga Melayu.

“Macam saya dengan LPP, 95 peratus mereka yang terlibat dengan LPP adalah orang Melayu. Tentulah ini peluang untuk saya buktikan keresahan Melayu itu tidak benar.

“Caranya, dengan cuba meningkatkan pendapatan golongan tani. Kalau saya gagal, orang akan buat perbandingan.

“Jadi, timbullah persepsi PH gagal jaga Melayu yang kemudiannya dikaitkan dengan pihak lain termasuk DAP,” jelasnya yang dilantik sebagai Pengerusi LPP pada 19 Oktober tahun lalu.