Malaysia Dateline

Laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan tanpa pilih bulu

Biro Undang-Undang (KANUN) Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa agar pihak VVIP yang terlibat dalam satu jamuan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, Perak, petang semalam, didakwa di mahkamah tanpa pengecualian.

Pengerusi KANUN, Dr Zulqarnain Lukman, berkata ia selaras dengan peruntukan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan ‘semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Tegasnya, dakwaan perlanggaran pergerakan beberapa orang kenamaan negara itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bercanggah dengan peraturan yang dikuatkuasa.

“KANUN menyatakan bahawa tindakan berhimpun secara sosial bagi tujuan penjamuan di premis itu adalah bercanggah sama sekali dengan peraturan yang dibuat.

“Meskipun jika sekiranya benar mereka duduk dalam keadaan berjarak seperti yang dilaporkan dalam siasatan awal oleh Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

“Perlu diketahui, peraturan PKP mengenakan syarat yang ketat untuk bergerak temasuk untuk melaksanakan apa-apa tugas rasmi yang mesti mendapat surat kebenaran daripada pegawai atasannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang Exco kerajaan Negeri Perak dan beberapa individu dikenalpasti berada dalam jamuan makan tersebut yang turut dihadiri seorang Timbalan Menteri.

Razarudin berkata, berdasarkan gambar majlis makan-makan yang tular, kesemua hadirin termasuk timbalan menteri berkenaan didapati duduk dalam keadaan berjarak antara satu sama lain.

Bagaimanapun untuk makluman, PKP dan perhimpunan telah diwartakan dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) 2020 [PU(A)] 117/2020 yang dikuatkuasa bagi tempoh mulai 15 April 2020 hingga 28 April 2020.

Sementara itu, Zulqarnain berkata, peraturan tersebut juga menyatakan bahawa apa-apa bentuk perhimpunan di dalam mana-mana premis awam atau persendirian bagi tujuan keagamaan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan adalah dilarang sama sekali.

Malah, setakat 17 April sahaja, seramai 17,024 individu telah ditangkap oleh pihak berkuasa yang dikenakan kompaun maksimum RM1000 atau pun didakwa di Mahkamah.

Justeru katanya, kegagalan untuk melakukan pendakwaan segera ke atas individu kenamaan tersebut bakal menjejaskan kewibawaan pihak berkuasa dan kerajaan di mata rakyat.